MAAF Pecco Diterima Tapi 'Kerosakan' Dah Berlaku - Alex Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/6/20241 min read


ALEX Marquez menegaskan kata-kata Francesco Bagnaia mengenai insiden di Grand Prix Aragon, minggu lalu 'merosakan' imejnya tetapi dia menerima permohonan maaf daripada pelumba Itali itu.
Susulan kemalangan di Aragon yang terjadi ketika perebutan tempat terakhir di podium, Bagnaia selepas perlumbaan menuduh Alex sebagai sengaja melakukan tindakan itu yang menyaksikan kedua-duanya pulang dengan tangan kosong.
Menjelang GP Misano, Pecco akhirnya mengakui melakukan kesilapan dengan mengeluarkan kenyataan berkenaan dan meminta maaf namun bagi Alex, tindakan itu sudah mencetuskan kerosakan.
"Faktanya dia meminta maaf, saya menyukainya dan benar-benar berterima kasih atas kata-katanya," kata Alex.
"Tetapi apapun, kerosakan terhadap saya secara peribadi, kepada pasukan saya dan imej saya sebagai pelumba sudah pun berlaku.
"Tetapi, saya mahu menutup babak ini. Saya tidak mahu bercakap mengenainya lagi. Saya mahu memandang ke depan."
Berdasarkan siasatan Steward FIM MotoGP, insiden itu dilihat sebagai kemalangan perlumbaan dan tiada pelumba dikenakan sebarang hukuman.
Seperti dijangka, kemalangan Bagnaia dan Alex mendapat perhatian cukup besar terutama di media sosial dan ia 'dipanaskan' dengan perseteruan antara mentor Bagnaia, Valentino Rossi dan abang Alex, Marc Marquez sebelum ini.
"Bergantung kepada bagaimana kamu melihatnya, bergantung kepada siapa kamu," kata Alex ketika ditanya mengenai publisiti yang dicetuskan insiden itu.
"Seperti yang saya katakan, kerosakan sudah berlaku. Ia seperti itu.
"Saya fikir ia tidak bagus untuk sukan ini secara keseluruhannya, tetapi ia sudah pun berlaku dan saya tidak mahu bercakap mengenainya lagi. Saya menghargai yang dia (Bagnaia) sudah meminta maaf atas kata-katanya, itu saja."
