MACAM Berlatih Supermoto - Jorge Martin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/17/20241 min read

JORGE Martin akhirnya mencetak namanya dalam senarai elit juara dunia MotoGP dan lebih unik, sebagai pelumba yang beraksi bersama pasukan 'satelit' dalam era moden.

Bersama Pramac Ducati, Martin menjadi pelumba kelima kelahiran Sepanyol menjulang gelaran itu dan dilakukannya pada pusingan terakhir di Grand Prix Barcelona dengan mengalahkan Francesco Bagnaia.

"Emosinya cukup tinggi, saya banyak menangis. Kini saya hanya mahu meraikannya dengan pasukan saya, rakan-rakan dan keluarga. Ia perjalanan yang panjang,' kata Martin.

"Perjalanan karier saya tidak mudah. Sudah tentu saya memperoleh peluang yang baik tetapi saya fikir saya membinanya. Saya bekerja amat keras. Saya melakukan banyak pengorbanan."

"Terima kasih kepada Pramac, Ducati kerana memberikan saya peluang untuk mempunyai jentera yang hebat ini selama empat tahun dan memberikan saya peluang untuk bertarung sehingga akhir bersama Pecco yang menakjubkan."

Martin berkata, dia cukup menikmati perlumbaan terakhir musim 2024 di Catalunya yang menyaksikannya hanya perlu menamatkan perlumbaan di kedudukan 9 terbaik jika Bagnaia menjuarai perlumbaan.

Dan ia dilakukannya dengan penuh bergaya dengan menaiki podium di tempat ketiga.

"Saya amat menikmati perlumbaan, saya menyentuh siku, menyentuh bahu (ke permukaan litar) seperti ia adalah latihan supermoto, berlatih dengan MotoGP! Saya amat-amat gembira yang saya menikmati tempoh ini.

"Saya fikir jika ia adalah perlumbaan yang normal, seperti pada Mei lalu, saya mungkin akan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga kerana Marc (Marquez) dan Pecco amat kuat.

"Saya melakukan yang terbaik, tetapi sudah tentu tujuh pusingan terakhir lebih sukar," kata Martin yang mengakui bimbang mengenai pemilihan tayarnya di Catalunya.

Martin berkata banyak yang terlintas di kepalanya ketika melepasi garisan penamat di Catalunya dengan mengetahui dia adalah juara dunia.

"Saya mula mengingati banyak perkara. Saya mengingati semua perjalanan karier yang berada dalam minda saya. Saya mengingati bapa saya, semua minggu selepas kerja yang keras, ibu saya memasak ketika saya berlumba dengan motosikal poket. Datuk saya yang tidak berada di sini (sudah meninggal dunia).

Martin selepas ini akan memulakan perjalanan baharu dalam kariernya bersama Aprilia dan akan membuat debut bersama Aprilia RS-GP pada Selasa juga di Catalunya.