'MACAM Berlumba Di Moto3, Terbaik Setakat Ini'
Bintang KTM, Pedro Acosta melabel pertarungan sengit dengan Marc Marquez pada perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Thailand 2026 sebagai pertarungan terbaik pernah dihadapinya sepanjang bergelar pelumba MotoGP, mengujakan seperti beraksi di Moto3
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/16/20261 min read


PELUMBA bintang KTM, Pedro Acosta melabel pertarungan sengit dengan Marc Marquez pada perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Thailand 2026 sebagai pertarungan terbaik pernah dihadapinya sepanjang bergelar pelumba MotoGP.
Selepas pendahulu perlumbaan, Marco Bezzecchi dari Aprilia Racing terjatuh, Acosta mendapati dirinya berentap dengan Marquez bagi merebut kemenangan sulungnya di kelas perdana.
Dan meskipun perlumbaan berakhir dengan penamat antiklimaks, Acosta yang hangat dikaitkan bakal menjadi rakan sepasukan Marquez di kem Ducati musim depan, jelas sangat menikmati pertarungan itu.
"Sangat menyeronokkan. Ia bagaikan kembali ke zaman ketika saya berlumba di kelas Moto3 dahulu. Ini adalah pertarungan terbaik saya setakat ini dalam kancah MotoGP," kata Acosta memetik laporan Crash.
Mengulas insiden yang menyaksikan Marquez dikenakan penalti 'turun satu kedudukan', Acosta juga bersikap profesional apabila langsung tidak merungut mengenai gerakan agresif rakan senegaranya itu kepada dirinya.
"Sudah tentu (tidak kisah). Maksud saya, inilah yang menjadikan MotoGP itu sesuatu yang sangat mengujakan. Anda akan sentiasa mengingati pertarungan dan detik-detik seperti ini. Ia adalah satu perlumbaan yang cukup indah buat peminat," katanya.
Keputusan positif yang diperoleh Acosta di Thailand menyaksikannya kini melakar sejarah sebagai pelumba KTM pertama yang pernah mendahului kedudukan kejuaraan dunia MotoGP dan memiliki kelebihan tujuh mata ke atas Bezzecchi menjelang aksi pusingan kedua pada kepulangan semula GP Brazil, di litar Goiania, hujung minggu ini.

