MAHU Jentera Kompetitif, Nak Mula Semula
Kekecewaan Fabio Quartararo terhadap keupayaan Yamaha sejak beberapa tahun kebelakangan ini dikatakan semakin memuncak, terutamanya apabila peralihan kepada enjin V4 serba baharu pada 2026 dilihat tak kompetitif dan terus menjarakkan pengeluar Jepun itu dengan pesaing lain
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/23/20261 min read


JAGUH MotoGP Perancis, Fabio Quartararo mendedahkan keputusannya menyertai Honda dalam kempen Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2027 didorong oleh keinginan mendapatkan jentera lebih berdaya saing serta permulaan yang baharu.
Perpindahan ke Honda menyaksikan perjalanan selama 8 tahun Quaratararo bersama Yamaha dinoktahkan dengan antara kejayaan yang diraih bersama Yamaha M1 adalah juara dunia MotoGP pada 2021.
Kekecewaan Quartararo terhadap keupayaan Yamaha sejak beberapa tahun kebelakangan ini dikatakan semakin memuncak, terutamanya apabila peralihan kepada enjin V4 serba baharu pada 2026 dilihat terus menjarakkan pengeluar Jepun itu dengan pesaing lain.
Lebih mengejutkan, pelumba berusia 25 tahun itu mengesahkan dia langsung tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan Yamaha mengenai lanjutan kontrak, sebaliknya bertindak pantas menandatangani perjanjian bersama Honda.
Bercakap buat kali pertama mengenai perpindahan besar dalam kerjayanya yang diumumkan lewat Julai lalu itu, Quartararo meluahkan rasa gembira dengan keputusannya untuk membuka lembaran baharu bersama Honda.
Quartararo menjelaskan ada dua faktor utama yang meyakinkannya untuk meninggalkan pengeluar yang sinonim dengan sepanjang kerjayanya di kelas perdana iaitu faktor jentera dan ketahanan mental.
"Saya perlukan nafas baharu, tenaga kerja baharu dan projek baharu. Selain itu, saya juga sangat kagum dengan kebangkitan yang dipamerkan Honda serta pelan perancangan masa depan mereka yang membuatkan saya benar-benar mahu ke sana," katanya.
Menjelang musim 2027, saingan MotoGP bakal menempuh satu lagi evolusi besar-besaran yang membabitkan perubahan drastik pada peraturan casis dan enjin, seiring dengan pengenalan pembekal tayar serba baharu.

