MAHU Kompetitif Sejak Hari Pertama Di Motegi - Hakim Danish

Pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets-MSi, Hakim Danish hadir ke Motegi dengan motivasi dan keyakinan yang tinggi, apatah lagi dia kini berada di kedudukan ke-7 carta keseluruhan Moto3 dunia dengan mengumpul 101 mata

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/29/20261 min read

SEGAR dengan momentum positif di GP Austria, Moto3 negara, Hakim Danish bertekad untuk menjadi kompetitif seawal sesi Latihan Bebas 1 (FP1) pada saingan Grand Prix (GP) Jepun di litar Mobility Resort Motegi, minggu ini.

Pelumba yang membawa cabaran pasukan AEON Credit MT Helmets-MSi itu hadir ke Motegi dengan motivasi dan keyakinan yang tinggi, apatah lagi dia kini berada di kedudukan ke-7 carta keseluruhan Moto3 dunia dengan mengumpul 101 mata.

Pelumba kelahiran Terengganu itu berkata, aksi di Motegi sangat penting kerana ia bakal menyingkap tirai siri jelajah pusingan Asia bagi kalendar musim 2026.

"Saya amat teruja untuk memulakan siri pusingan di Asia. Saya sememangnya menantikan perlumbaan ini dan bertekad untuk memberikan persembahan yang terbaik di Motegi.

"Strategi saya adalah cuba mendapatkan permulaan yang mantap seawal hari pertama lagi. Saya mahu bermula dengan rentak yang baik, kekal fokus serta memastikan saya sentiasa kompetitif dalam setiap sesi latihan mahupun sesi kelayakan," katanya.

Menyedari persaingan kelompok hadapan yang semakin sengit menjelang penghujung musim, Hakim menegaskan komitmennya untuk memerah keringat bersama pasukan bagi mencari tetapan terbaik buat jenteranya.

"Saya dan pasukan akan bekerja keras sepanjang minggu ini demi memastikan jentera berada pada tahap optimum untuk mengutip mata maksimum hingga ke pusingan di Malaysia nanti," katanya.

Selepas pusingan pembuka tirai Asia di Jepun minggu ini, cabaran Hakim Danish akan diteruskan ke GP Indonesia pada 11 Oktober, diikuti GP Australia (25 Oktober) dan kemuncaknya di halaman sendiri pada saingan GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 1 November depan.