MAKIN Meriah, Jenama motosikal nasional kedua, AFAZ dilancar

TERKINI

9/18/20231 min read

SELEPAS Modenas atau Motosikal dan Enjin Nasional, Malaysia kini rasmi mempunyai sebuah lagi jenama motosikal nasional dikenali sebagai AFAZ.

Pengumuman dan perjanjian mengenai pembangunan AFAZ dilakukan, baru-baru ini yang turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebagai makluman, AFAZ terhasil menerusi kerjasama syarikat KMSB Motors Sdn Bhd (KMSB) bersama Suzuki Motor Corporation (SMC) Jepun.

Perjanjian usaha sama itu ditandatangani oleh KMSB yang diwakili Pengerusi Eksekutif, Ahmad Faez Yahaya manakala SMC diwakili Presidennya, Toshihiro Suzuki.

KMSB dalam satu kenyataan berkata menerusi penjanjian berkenaan, SMC bersetuju untuk membekalkan komponen penting kepada KMSB bagi pembangunan motosikal jenama AFAZ.

Menurut KMSB, inisiatif adalah adalah langkah penting dalam memangkin industri automotif dua roda negara yang merangkumi sejumlah 718,000 motosikal yang dipasarkan sepanjang tahun 2022.

Dan kerjasama itu secara langsung ia akan menyumbang kepada keperluan kepakaran industri pembuatan tempatan, memangkin industri vendor, pertumbuhan tenaga kerja, dan pembangunan program industri yang berasaskan teknologi tinggi serta kemahiran yang pastinya memberi impak yang besar kepada pembangunan negara.

KMSB berkata, AFAZ dijangka akan memimpin inovasi dan reka bentuk dalam industri motosikal dengan kepakaran penyelidikan, pembangunan, pemasaran & inovasi (RDCI) tempatan dengan fokus yang jelas terhadap kualiti, prestasi, dan inovasi.

Justeru, syarikat itu berhasrat untuk menjadi pemain utama dalam pasaran motosikal tempatan dan sekali gus bersaing di peringkat ASEAN dan global.