MALAM Anugerah MAM 2024 Meriah, Penggiat Sukan Permotoran Tanah Air Diraikan!
TERKINI
2/25/20252 min read


SELEPAS enam tahun 'berehat', Malam Anugerah MAM (Persatuan Sukan Bermotor Malaysia) kembali dianjurkan bagi edisi 2024 yang berlangsung penuh gilang gemilang, malam tadi.
Bertempat di M Resort & Hotel Kuala Lumpur, penganjuran anugerah berkenaan berjaya menghimpunkan nama-nama besar sukan permotoran dua dan empat roda terkemuka tanah air.
Sebagai antara anugerah penting dalam kalendar sukan negara, antara tetamu yang hadir termasuklah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata penganjuran semula Malam Anugerah MAM memaparkan dedikasi badan induk itu dalam mengiktiraf kerja keras dan pencapaian penggiat industri sukan permotoran Malaysia.
Katanya, anugerah yang disampaikan bukan sahaja mengenai kemenangan, tetapi untuk mencipta masa depan yang mampan dan lebih kuat untuk sukar permotoran.
"Kita meraikan mereka yang menyumbang dan membawa sukan permotoran di Malaysia ke satu tahap yang baharu, dan kami sememangnya mengharapkan masa depan yang lebih cerah. Sasaran kami menjadikan acara ini sebagai tetap dalam kalendar MAM."
Malam Anugerah MAM 2024 menampilkan 22 jenis kategori termasuk beberapa anugerah baharu.
Untuk kategori sukan permotoran dua negara, antara yang mendapat pengiktirafan termasuklah bekas pelumba Moto2 negara, Azlan Shah Kamaruzaman menerusi anugerah Ikon Sukan Bermotor Malaysia.
Turut mendapat pengiktirafan terutama dalam sukan permotoran dua roda adalah bekas pelumba MotoGP negara yang kini beraksi bersama pasukan JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah (Pelumba Pencapaian Antarabangsa Terbaik), Helmi Azman (Pelumba Pencapaian Kebangsaan Terbaik) dan Qabil Irfan Azlan (Pelumba Muda Tahunan).
Dua legenda yang sinonim dengan sukan permotoran dua roda negara turut disenarai dalam Dewan Kemasyhuran Sukan Permotoran Malaysia iaitu 'Raja Kapcai', Wazi Abdul Hamid dan Berry Leong.
Antara penaja yang turut serta adalah seperti AEON Credit, GINTELL, Safe Aim Mutual, RCB, MODENAS, Porsche Malaysia dan Aprilia.
Berikut adalah senarai pemenang:
Penunggang Antarabangsa Terbaik – Hafizh Syahrin Abdullah
Penunggang Nasional AEON Credit Terbaik – Muhammad Helmi Azman
Penunggang Muda Terbaik – Qabil Irfan Azlan
Penunggang Wanita AEON Credit Terbaik – Saidatul Zakirah Zairin
Pasukan 2-Roda Terbaik – Yamaha Tekhne Racing Team Asia
Pelumba Antarabangsa Terbaik – Amirul Taufek
Pelumba Nasional Terbaik – Hayden Haikal
Pemandu Muda Terbaik – Katrina Ee Wing Thung
Pemandu Wanita Terbaik – Ng Aik Sha
Pasukan 4-Roda Terbaik – Wing Hin Motorsports
Pesaing E-Motorsports Terbaik – Nabil Nor Azlan
Laporan Terbaik (Media Elektronik) – Zaidan Zainudin (Z-Garage)
Laporan Terbaik (Dalam Talian/Media Sosial) – Sanjay Madhav (WapCar)
Laporan Terbaik (Media Cetak) – Saiful Affendy Sapran (Harian Metro)
Foto Terbaik – Mohd Hizami Roslan (Senshi Visual)
Penganjur Terbaik – Kelab Sukan Bermotor MSF
Anugerah Pembangunan Sukan Permotoran KBS – Kelab Sukan Rekreasi Trolak
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat – Allahyarham Tan Sri Basir Ismail
Anugerah Wanita Paling Berwibawa dalam Sukan Permotoran – Dr. Nor Azlin Zainal Abidin
Anugerah Kecemerlangan Industri – PETRONAS
Malaysia Motorsports Hall of Fame – Datuk Ahmad Mustafa
Malaysia Motorsports Hall of Fame – Barry Leong Foo Hin
Malaysia Motorsports Hall of Fame – Wazi Abdul Hamid
Ikon Sukan Permotoran Malaysia – Azlan Shah Kamaruzaman




















