MALAM Anugerah MAM 2025 AEON Credit Raikan Penggiat Sukan Permotoran Tanah Air
Juara Asia dalam kelas ASB1000, Hafizh Syahrin Abdullah, juara ESBK Talent Qabil Irfan Azlan antara yang menerima anugerah pada Malam Anugerah MAM AEON Credit 2025
TERKINI
2/5/20262 min read


EDISI kelima Malam Anugerah Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) 2025, acara berprestij yang dianjurkan bagi meraikan pencapaian cemerlang dan usaha keras penggiat sukan permotoran tanah air berlangsung penuh gemilang malam tadi.
Secara keseluruhan, sejumlah 30 kategori anugerah dipertandingkan – jumlah tertinggi setakat ini – meliputi pencapaian dalam arena sukan permotoran dua roda dan empat roda.
Ia termasuk pelbagai disiplin termasuk perlumbaan, karting, drifting, gymkhana, e-motorsports selain kecemerlangan media dan kepimpinan industri dengan penganjurannya mencerminkan kepelbagaian serta kematangan ekosistem sukan permotoran Malaysia.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir adalah Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, Ketua Setiausaha KBS, Datuk Dr K Nagulendran dan Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir serta tetamu kehormat lain.
Mokhzani menegaskan majlis bukan sekadar meraikan kemenangan, tetapi mengiktiraf disiplin, ketahanan dan profesionalisme di setiap peringkat.
"Dengan peluasan kepada 30 kategori, kita memastikan setiap laluan – daripada pembangunan akar umbi hingga ke kejohanan antarabangsa, diiktiraf dan dihargai. Platform ini mencerminkan sejauh mana sukan permotoran Malaysia berkembang dan hala tuju masa depannya,” katanya.
Pada tahun ini, AEON Credit Service (M) Berhad tampil sebagai penaja utama dan syarikat itu sekali lagi menzahirkan komitmen terhadap pembangunan sukan permotoran dan pemerkasaan belia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Daisuke Maeda, berkata kerjasama dengan MAM mencerminkan nilai bersama iaitu komitmen, daya tahan dan semangat untuk maju.
“Melalui kerjasama ini, kami bukan sahaja menyokong pertumbuhan sukan permotoran, tetapi turut mengukuhkan kepimpinan dalam pasaran pembiayaan dua roda, sambil kekal dengan misi membawa kewangan lebih dekat kepada semua,” katanya.
Kesemua penerima anugerah dipilih melalui proses penilaian telus dan menyeluruh oleh panel terdiri daripada tokoh industri, bekas juara, profesional media serta wakil kanan MAM, memastikan kredibiliti dan integriti pada tahap tertinggi.
Majlis ini turut mendapat sokongan pelbagai rakan strategik termasuk Litar Antarabangsa Speang PETRONAS, RCB, Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya, AFAZ, Hypergear, UMA Racing, Al-Ikhsan, Safe Aim Mutual, KYT dan M Resort & Hotel.
Berikut senarai penuh pemenang Anugerah MAM 2025:
Pelumba Underbone Kebangsaan Terbaik – Ahmad Afif Amran
Pelumba Underbone Antarabangsa Terbaik – Ahmad Afif Amran
Pelumba Kebangsaan Terbaik – Azroy Hakeem Anuar
Pelumba Antarabangsa Terbaik – Hafizh Syahrin Abdullah
Pelumba Wanita Terbaik – Saidatul Zakirah Zairin
Pelumba Muda Terbaik – Qabil Irfan Azlan
Pasukan 2 Roda Kebangsaan Terbaik – Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing
Pasukan 2 Roda Antarabangsa Terbaik – Idemitsu Honda Racing Malaysia
Peserta E-Motorsports Terbaik – Naquib Nor Azlan
Pelumba Drift Terbaik – Kuah Ming Hui
Pemandu Gymkhana Kebangsaan Terbaik – Stella Sigi
Pelumba Kart Kebangsaan (Kadet) Terbaik – Aydrae Amit Janardhan Logan
Pelumba Kart Kebangsaan (Junior) Terbaik – Slabbert Mika Francois
Pelumba Kart Kebangsaan (Senior) Terbaik – Zarief Rayqal Fahruddin
Pemandu Kebangsaan Terbaik – Aaron Hakim Mohamad Haikal
Pemandu Antarabangsa Terbaik – Naquib Nor Azlan
Pemandu Wanita Terbaik – Kuah Ming Hui
Pemandu Muda Terbaik – Slabbert Mika Francois
Pasukan 4-Wheel Terbaik Kebangsaan – HIREV Dream Chaser
Pasukan 4-Wheel Terbaik Antarabangsa – Wing Hin Motorsports
Laporan Terbaik (Media Elektronik) – Norsyafarina Nasrom (Astro Arena)
Laporan Terbaik (Dalam Talian/Media Sosial) – Mohd Hilmie Hussin (Flash Sukan)
Laporan Terbaik (Media Cetak) – Muhammad Riduan Mohd Hanafiah (Kosmo)
Foto Terbaik – Muhammad Afiq Azlan (Two Wheels Media)
Penganjur Terbaik – Kelab Sukan Bermotor Pulau Pinang
Anugerah Wanita Cemerlang dalam Sukan Permotoran – Mashithah Hashim
Atlet Paling Memberi Inspirasi – Hakim Danish Ramli
Anugerah Kecemerlangan Industri – RCB
Ikon Sukan Permotoran Malaysia – Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel
Dewan Kemasyhuran Sukan Permotoran Malaysia
Sam Hogg
Mia Sharizman Ismail
Mohd Azhari Mohammad
Dr Nor Azlin Zainal Abidin
Mashithah Hashim
Allahyarham Norhayati Md Ali

