MALAYSIA Boleh! Kemenangan Untuk Rakyat Malaysia - Hakim Danish
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/2/20241 min read


PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli melaungkan kata-kata azimat 'Malaysia Boleh' dan menghadiahkan kemenangan sulungnya di pentas Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024 di Aragon, Sepanyol kepada rakyat Malaysia.
Selepas dipalit kekecewaan pada Perlumbaan 1 yang berlangsung pada 31 Ogos, pelumba kelahiran Terengganu itu bangkit pada Perlumbaan 2 semalam untuk mendominasi sepenuhnya perlumbaan basah di Aragon.
Dan seperti kata-kata pengulas, Hakim Danish membuktikannya di sememangnya 'pakar' berlumba dalam keadaan litar seperti itu apabila memimpin perlumbaan sejak pusingan pertama sehingga penamat.
"Perlumbaan 2 agak mencabar berikutan keadaan litar yang basah tetapi saya dapat rasakan yang jentera saya berfungsi dengan baik dalam keadaan seperti ini," kata Hakim Danish.
"Saya cuba mencipta jurang masa sejak daripada pusingan pertama dan mengekalkan kelajuan saya, yang membenarkan saya untuk menamatkan perlumbaan sebagai juara.
"Saya mahu mendedikasikan kemenangan ini kepada rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-67. Malaysia boleh!"
Kemenangan menyaksikan Hakim Danish kembali ke kedudukan ke-6 kedudukan carta pelumba selepas mengumpul 114 mata.
Pelumba Sepanyol, Alvaro Carpe yang menjadi antara 'mangsa' perlumbaan basah di Aragon selepas terjatuh dan langsung tak mengutip mata kekal sebagai pendahulu kejuaraan dengan 202 mata.
Pusingan 7 yang juga aksi penutup tirai RBMRC 2024 dijadual berlangsung di Misano, Itali pada hujung minggu ini.
