MALAYSIA Destinasi Yamaha Lancar Jentera, Liveri MotoGP 2025

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/25/20241 min read

TIDAK seperti musim-musim sebelumnya, pelumba-pelumba dan barisan krew pasukan MotoGP hanya memperoleh tempoh cuti yang singkat sebelum memasuki musim baharu 2025.

Menutup tirainya pada November lalu di Barcelona, beberapa pasukan tampak seperti tidak sabar untuk memulakan kempen baharu dengan ada pasukan yang mula menayangkan jentera dan 'liveri' baharu pasukan seawal Januari.

Setakat ini, beberapa pasukan berstatus 'kilang' dan satelit sudah pun mempunyai tarikh pelancaran dan menariknya, Malaysia turut dijadual menjadi destinasi pelancaran.

Ini kerana Yamaha dikatakan akan melancarkan jentera dan 'liveri' baharu kedua-dua pasukannya di MotoGP musim depan, Monster Yamaha dan Pramac Yamaha ketika ujian 'shakedown' berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS iaitu pada 31 Januari.

Yamaha begitupun bukan pasukan pertama menayangkan jentera bagi musim 2025.

Pengeluar Itali, Aprilia yang memperoleh kudrat baharu iaitu juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin akan melancarkan pasukan baharu pada 16 Januari ini.

Menariknya, selain menampilkan barisan serba baharu Martin dan Marco Bezzecchi, majlis berkenaan turut dijangka menjadi petunjuk nombor apa yang digunakan Martin pada musim depan.

Majlis berkenaan dikatakan berlangsung di Sky Studios.

Dua hari kemudian, giliran Gresini Ducati mendedahkan 'liveri' dan jentera baharu pasukan itu yang kini tanpa khidmat bintang utama, Marc Marquez.

Berlangsung di arena bersejarah Litar Imola, Itali, pelancaran dijadual pada 18 Januari dengan pasukan itu menampilkan Alex Marquez dan 'rookie', Fermin Aldeguer.

Pada 20 Januari, pasukan yang menjuarai gelaran juara dunia pengeluar 2024, Ducati Lenovo dijualkan memperkenalkan 'liveri' baharu pasukan itu bagi musim 2025.

Acara yang bakal menampilkan gandingan pelumba yang mempunyai lapan gelaran dunia MotoGP itu, Marc Marquez dan Francesco Bagnaia dijadual berlangsung di Madonna di Campiglio, sebuah resort ski di daerah Itali, Trentino.

Setakat ini, Honda masih belum mendedahkan tarikh pelancaran kedua-dua pasukannya selain masing-masing satu daripada Ducati (VR46 Ducati) dan Aprilia (Trackhouse).

KTM yang sedang berdepan kemelut turut belum memberikan sebarang maklumat mengenai perkara berkenaan.

Selain pelancaran persendirian, MotoGP turut dijadual menganjurkan majlis khas yang dikatakan akan menampilkan kesemua pasukan dan pelumba yang bertanding bagi musim 2025 di Bangkok, Thailand pada 9 Februari.