MALAYSIA Gah Di Laman Sendiri Juarai Edisi Sulung APMC FIA 2023

SUKAN PERMOTORAN 4 RODA

10/3/20231 min read

MALAYSIA selaku tuan rumah tampil cemerlang menjuarai gelaran keseluruhan edisi sulung Kejohanan Sukan Permotoran Asia Pasifik (APMC) FIA 2023 yang menutup tirainya di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.

Secara keseluruhan, kem Malaysia menjuarai empat pingat emas, dua perak dan satu pingat gangsa dalam lima disiplin acara yang dipertandingkan dalam kejuaraan yang berlangsung selama tiga hari itu.

Pingat emas Malaysia diperoleh daripada acara Rally, Gymkhana dan E-sports.

Pasukan Australia, yang memenangi dua pingat emas dalam acara Rally satu pingat emas dalam acara Karting Cup menerusi pelumba mudanya, Ky Burke (Cadet Sprint) meraih tempat kedua keseluruhan.

Negara jiran, Indonesia meraih tempat ketiga keseluruhan dalam kejohanan yang membabitkan 23 negara di rantau Asia Pasifik itu.

Ketua Pasukan Malaysia, Jazeman Jaafar berkata muncul juara keseluruhan APMC 2023 satu kebanggaan dan pencapaian yang cukup besar.

"Saya mahu mengucapkan tahniah kepada semua ahli pasukan Malaysia atas kepercayaan, dedikasi dan kerja keras yang mereka berikan disebalik notis yang singkat dan jadual harian mereka yang padat, menjalankan rutin harian mereka bekerja dan bersekolah.

"Kamu semua adalah yang terbaik dan saya benar-benar berbangga untuk menjadi sebahagian daripada pasukan ini," kata Jazeman yang juga pelumba negara di Kejuaraan Endurance Dunia FIA.

Presiden Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir dalam pada itu menyifatkan kesemua peserta yang bersaing di APMC 2023 sebagai pemenang kerana memenangi pingat bukanlah agenda utama kejohanan itu.

"Kami berada di sini untuk memupuk hubungan dan persefahaman yang lebih erat; dan bekerjasama untuk menggalakkan pembangunan sukan permotoran dan membawa sukan permotoran di rantau ini ke tahap yang lebih tinggi, mungkin mengangkat beberapa disiplin untuk menjadi sebahagian daripada Sukan Olimpik.

"Memang ada banyak acara yang boleh dipertingkatkan lagi dan bersama-sama, kita boleh menjadikan APMC sebagai acara yang bertaraf dunia. Melihat ke hadapan, APMC memang boleh menjadi lebih baik,” kata Mokhzani yang turut berterima kasih kepada FIA atas kepercayaan dan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah APMC 2023.

Sebagai info, pingat emas Malaysia diraih dalam acara Rally (Control Speed Stage) menerusi gandingan Sutan Mustafa Salihin dan Victor Cheong, Gymkhana (Solo wanita) Ng Aik Sha dan E-sports yang dimenangi Muhammad Naquib Nor Azlan (Perseorangan dan Berpasukan) bergandingan dengan Imran Zuhaili.