MALAYSIA Kekal Dalam Kalendar MotoGP Dari 2027-2031

Pembaharuan kontrak lima tahun untuk MotoGP kekal di Malaysia dipersetujui kerajaan selepas mengambil kira tiba pertimbangan utama iaitu pelaburan strategik, pengukuhan pembangunan bakat dan ekosistem sukan permotoran negara dan manfaat ekonomi berterusan kepada rakyat

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/1/20262 min read

TEKA-teki sama ada Malaysia akan terus kekal sebagai gelanggang bagi perlumbaan 2 roda paling berprestij dunia, MotoGP terjawab apabila kontrak lanjutan penganjuran selama 5 tahun berjaya dimeterai dan diumumkan, hari ini.

Perkembangan mengujakan diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari pada satu majlis di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS, hari ini selepas pembaharuan kontrak itu berjaya mendapat kelulusan kerajaan.

Seperti diketahui, kontrak penganjuran sedia adalah Grand Prix (GP) Malaysia tamat pada 2026 dengan lanjutan kontrak itu menyaksikan Malaysia kekal sebagai tuan rumah bermula 2027 hingga 2031.

Sebagai rekod, Malaysia mula menjadi tuan rumah kepada perlumbaan MotoGP sejak 1991 dan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC) mula menganjurkannya sejak 1999 sehingga kini.

Situasi itu menyaksikan Malaysia menjadi antara destinasi utama penggemar sukan itu di rantau ini meskipun negara jiran iaitu Thailand dan Indonesia turut mendapat hak sebagai antaran gelanggang sejak beberapa tahun lalu.

Taufiq dalam ucapannya menjelaskan GP Malaysia sudah berkembang menjadi antara aset sukan negara yang paling bernilai.

"Ia (GP Malaysia) bukan sahaja mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan industri, serta pembentukan bakat sukan permotoran tempatan."

Mengulas lanjut, Taufiq menjelaskan keputusan strategik bagi meneruskan penganjuran acara bertaraf dunia itu dibuat berdasarkan tiga pertimbangan utama.

"Faktor pertama adalah status MotoGP sebagai pelaburan strategik negara. Berdasarkan kajian, penganjuran acara itu pada tahun 2024 berjaya menjana impak ekonomi keseluruhan sekitar RM 694 juta, mencipta lebih 4,400 peluang pekerjaan, dan memberi pulangan pelaburan (ROI) 6.3 kali ganda kepada negara.

"Limpahan manfaat ini secara langsung dirasai oleh pelbagai sektor termasuk pelancongan, hospitaliti, pengangkutan serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)," katanya.

Pertimbangan kedua membabitkan pengukuhan pembangunan bakat dan ekosistem sukan permotoran yang merangkumi pelumba, tenaga teknikal dan teknologi.

"Inisiatif Pembangunan Sukan Permotoran Malaysia (MDEV) kini membuahkan hasil dengan lahirnya pelumba muda berbakat besar seperti Hakim Danish dan Qabil Irfan yang semakin menyerlah di pentas antarabangsa," katanya.

Bagi pertimbangan ketiga, kerajaan melihat potensi penganjuran ini dalam menjana manfaat ekonomi berterusan kepada rakyat melalui pembangunan industri sokongan.

"Menerusi Pelan Induk Pembangunan SIC 2035, litar berkenaan berpotensi menarik pelaburan sehingga RM 1 bilion pada masa hadapan, di samping menyasarkan pewujudan lebih 5,000 peluang pekerjaan berimpak tinggi.

"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kekal komited untuk memperkukuh ekosistem ini. Kita berharap pembaharuan kontrak ini akan memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi utama permotoran dunia sambil melahirkan lebih ramai jaguh negara."