MALAYSIA Kembali Sertai Sukan Permotoran FIA, Pertaruhkan 5 Pelumba Di Sepanyol

SUKAN PERMOTORAN 4 RODA

10/8/20242 min read

SELEPAS tidak beraksi pada edisi tahun lalu, Malaysia kembali menyertai Sukan Permotoran FIA 2024 yang dijadual berlangsung di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol pada 23 hingga 27 Oktober ini.

Menurut Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), pasukan Malaysia akan menghantar 5 atlet yang bertanding dalam tiga acara iaitu GT Sprint, GT dan Esports.

Dalam kategori GT Sprint, Malaysia akan diwakili pelumba berpengalaman luas di trek lumba iaitu Jazeman Jaafar.

Untuk kategori GT, pelumba yang mengibarkan cabaran negara adalah dua pelumba berpengalaman, Weiron Tan dan Selim Rafique yang bakal berlumba menggunakan jentera Lamborghini Huracan GT3.

Manakala dalam kategori Esports yang terbahagi kepada dua GT dan F4, mewakili negara adalah gandingan adik beradik, Naquib Nor Azlan dan Nabil Nor Azlan yang mendapat bimbingan daripada jurulatih Alex Yoong.

Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata barisan atlet yang dihantar ke Sepanyol kali ini bersedia untuk memberikan saingan yang sengit dengan mensasarkan tempat di podium.

“Kami sangat berbangga dan teruja untuk menghantar pelumba-pelumba tempatan bagi acara Sukan Permotoran FIA 2024 yang dianggap sebagai Sukan Olimpik dalam sukan permotoran.

"Saya percaya lima pelumba Malaysia ini mempunyai apa yang diperlukan untuk bersaing dengan yang terbaik di peringkat antarabangsa, dan acara ini adalah peluang yang cukup baik untuk mempamerkan bakat mereka dari Asia Tenggara,” kata Mokhzani.

Bagi pelumba-pelumba negara yang beraksi dalam kategori GT, mereka akan bersama pasukan yang berpengalaman luas dan terkenal dengan kepakaran teknikal luar biasa iaitu Taxshield Arrows.

Untuk kategori GT, ia tampil dengan format unik, di mana setiap negara membariskan dua pelumba yang mempunyai lesen perlumbaan gred Perak ‘silver’ dan Gangsa ‘bronze’.

Tetapi dalam kategori GT Sprint, negara bertanding perlu membariskan pelumba yang mempunyai lesen gred Emas 'gold' bagu setiap jentera.

Manakala untuk Naquib dan Nabil, mereka akan beraksi dalam acara individu kategori Esports GT dan Esports F4 dengan Nabil akan membuat penampilan sulung.

Menurut FIA, edisi tahun ini menjanjikan untuk menjadi yang terbesar dengan sejumlah 24 kategori dipertandingkan yang merangkumi keseluruhan spektrum sukan Perlumbaan Litar hingga Jalan Elektrik, termasuk Slalom Auto, Slalom Karting,

Esports, Off-road, dan Rali selain kategori asal - GT, GT Sprint, Kereta Touring, Formula 4, Drift dan Esports.

Sebagai rekod, ini adalah kali ketiga Malaysia akan bersaing di temasya Sukan Permotoran FIA yang mula dianjurkan sejak 2019.