MALAYSIA Kembali Tanpa Wakil 'Tetap' Di Kejuaraan Motosikal Dunia Pada 2024?
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/16/20231 min read
BERPANDUKAN situasi semasa, Malaysia berpotensi kembali tidak mempunyai pelumba yang beraksi secara sepenuh masa di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada musim depan.
Pada musim ini, pelumba Malaysia yang mengibarkan cabaran negara di pentas elit itu hanya seorang iaitu Syarifuddin Azman atau Damok dalam kelas Moto3.
Begitupun, berdasarkan prestasi semasa, Damok berkemungkinan tidak dapat meneruskan kariernya di pentas berkenaan musim depan dan ia banyak berkait dengan prestasi hambar diperolehnya pada musim ini.
Dan antara perkembangan terbaharu adalah antara pihak yang kuat di belakangnya iaitu Litar Antarabangsa Sepang (SIC) juga dilaporkan tidak akan meneruskan pelaburan terhadapnya musim depan.
Bukan sekadar khabar angin, perkembangan mengecewakan itu dikatakan sendiri oleh pihak pengurusannya, ZK Racing menerusi Pengurus, Zulfahmi Khairuddin.
Ketika ditemui di GP Malaysia 2023 dan diminta mengulas mengenai perkembangan Damok, Zulfahmi yang juga bekas pelumba negara berkata keputusan mengecewakan yang diraih Damok musim ini menjadi antara penyebab utama penarikan penajaan SIC.
Melihat kepada calon-calon lain yang berpotensi, dua lagi pelumba yang berada di bawah pengurusan ZK Racing iaitu Hakim Danish Ramli dan Danial Syahmi Shahril yang beraksi di pentas Eropah musim ini masing-masing derdepan kekangan tersendiri.
Untuk Hakim Danish, sekalipun dia dipikat pasukan luar, peraturan had umur akan membataskannya manakala prestasi yang dipamerkan Danial Syahmi tidak begitu mengujakan pada musim ini.
Jika menilai bakat-bakat negara yang beraksi di kejuaraan Asia pula, antara kekangan mereka pastinya membabitkan program dan pasukan sekalipun mampu bergelar juara Asia.
Mengulas lanjut, sekalipun nampak sukar, Zulfahmi dia masih berusaha dan mempercayai kemampuan Damok dan akan cuba meletakkan pelumba itu terus beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia musim depan.
Dan perlumbaan penutup tirai di Valencia menjadi peluang terakhir kepada Zulfahmi kerana difahamkan, hanya ada dua pasukan di Moto3 masih belum melengkapkan senarai pelumba pada musim depan.
Selain itu, Damok juga perlu membuktikan dirinya pada dua perlumbaan terakhir di Qatar, minggu ini dan Valencia bagi memudahkan tugasan sukar berkenaan.