'MALAYSIA Konsisten Lahirkan Pelumba Berbakat'

Bos Dorna Sports yang juga Ketua Pegawai Sukan MotoGP, Carlos Ezpeleta menjelaskan Malaysia tidak pernah ketandusan bakat baharu dan memiliki kelebihan besar berbanding negara serantau lain

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/10/20261 min read

KEMAMPUAN Malaysia yang dilihat konsisten dalam melahirkan pelumba motosikal berbakat dan berkaliber mendapat pengiktirafan bos penganjur Kejuaraan Motosikal Dunia, Dorna Sports.

Ketua Pegawai Sukan MotoGP, Carlos Ezpeleta berkata, Malaysia tidak pernah ketandusan bakat baharu menyifatkan negara ini memiliki kelebihan besar berbanding negara serantau lain.

Dan situasi positif ini didorong oleh sokongan padu dan kerja keras pelbagai pihak terutama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ezpeleta menjelaskan ekosistem sukan permotoran yang sudah bertapak lama di Malaysia membolehkan program pembangunan bakat berjalan dengan lebih lancar dan efektif.

"Dalam hal ini (pembangunan bakat), Malaysia mempunyai kelebihan berbanding semua negara lain di rantau ini kerana sukan ini (permotoran) sudah bertapak dan kukuh di sini sejak sekian lama.

"Sentiasa ada pelumba Malaysia yang sangat berbakat (dihasilkan)," katanya.

Pelumba berbakat dari Malaysia yang membuat debut di Kejuaraan Motosikal Dunia pada musim ini adalah Hakim Danish Ramli yang beraksi sebagai pelumba sepenuh masa dalam kelas Moto3 MT Helmets-MSI.

Mengulas mengenai pelumba muda itu, Ezpeleta mengakui beliau sama sekali tidak terkejut melihat Hakim Danish berjaya melangkah ke kancah Moto3, malah mendedahkan bahawa pelumba itu sudah lama berada dalam radar pemerhatian Dorna.

Mengulas megenai Hakim Danish, Ezpeleta mengakui dia langsung tidak terkejut melihat pelumba kelahiran Terengganu itu berjaya melangkah ke kancah Moto3 dan ia sebagai satu perkembangan yang amat dinantikan.

Hakim Danish dianggap sebagai bintang masa depan Malaysia selepas mencipta sejarah menjadi pelumba negara Malaysia pertama menjuarai Asia Talent Cup (ATC) pada 2022.

Tahun lalu, pelumba berusia 18 tahun itu terus membanggakan negara apabila menjadi pelumba Malaysia pertama meraih kedudukan tiga teratas secara keseluruhan dalam saingan berprestij, Red Bull Rookies Cup.