MALAYSIA Sah Ada Wakil Di Super GT, Jazeman Umum Berlumba Di Sepang!

SUKAN PERMOTORAN 4 RODA

4/30/20251 min read

SELEPAS 11 tahun, perlumbaan empat roda berprestij Siri Super GT kembali ke Malaysia pada tahun ini dan menariknya, ia akan turut disertai bekas pelumba pembangunan Formula Satu (F1) negara, Jazeman Jaafar di kejuaraan itu.

Secara keseluruhan, saingan Siri Super GT pada musim ini dijadual berlangsung sebanyak lapan pusingan dengan Malaysia menjadi tuan rumah pusingan ketiga yang berlangsung pada 26 hingga 28 Jun ini.

Dan Malaysia menjadi satu-satunya pusingan yang berlangsung di luar Jepun dengan lokasi perlumbaan adalah di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS dengan kontrak penganjuran sehingga 2027.

Jazeman dalam satu pengumuman berkata dia akan beraksi bersama pasukan Earl Bamber Motorsport (EBM) menggunakan jentera Aston Martin Vantage GT3 EVO dalam kelas GT300.

Dan pelumba itu menyatakan keterujaannya untuk berlumba yang juga penampilan pertamanya di kejuaraan berkenaan.

"Cabaran terbesar pada perlumbaan ini adalah untuk memahami penggunaan tayar. Pada Super GT, peraturan tayar adalah terbuka, jadi dengan menggunakan tayar Michelin, ia memberikan kami pakej yang kuat.

"Saya pernah memandu Aston Martin Vantage sebelum ini, tetapi bukan versi yang memiliki kit EVO. Saya difahamkan yang penambahan pakej aero ini memberikan peningkatan yang besar.

"Kami bersedia untuk menyahut cabaran perlumbaan di laman sendiri, untuk mengibarkan bendera Malaysia dengan megah."

Jazeman yang memiliki karier panjang dalam perlumbaan empat roda termasuk berlumba di Kejuaraan Enduran Dunia FIA, 24 Jam Le Mans dan GT World Challenge akan bergandingan dengan pelumba China, Kerong Li.

Siri Super GT seperti diketahui menampilkan persaingan membabitkan pengeluar-pengeluar dan pelumba terkemuka dari Jepun dengan kelas utama GT500 membabitkan Toyota, Honda dan Nissan manakala kelas GT300 membabitkan Subaru dan Lexus.

SIC sebelum ini pernah menganjurkan Super GT pada tahun 2000 hingga 2001 yang sebelum itu dikenali sebagai All-Japan Grand Touring Championship menerusi perlumbaan persembahan.

Ia kemudian terus dianjurkan sebagai perlumbaan sebenar pada tahun 2002 sehingga 2013. Perlumbaan itu sebelum ini dijadualkan kembali ke Malaysia pada 2020 tetapi dibatalkan susulan pandemik Covid-19.