MALAYSIA Sah Kembali Anjur F1
Perlumbaan F1 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu nanti begitupun tidak akan menggunakan nama GP Malaysia sebaliknya 'Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia' dan dijadual berlangsung pada 4 Oktober ini
SUKAN PERMOTORAN 4 RODA
7/26/20261 min read


TEKA-teki sama ada perlumbaan berprestij 4 roda, Formula 1 (F1) kembali dianjurkan di Malaysia terjawab apabila pengelola kejuaraan itu bersama Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan ia akan menjadi lokasi gantian kepada GP Bahrain 2026, hari ini.
Begitupun, perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu nanti tidak akan menggunakan nama GP Malaysia sebaliknya 'Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia' dan dijadual berlangsung pada 4 Oktober ini.
Liberty Media yang juga pemilik F1 dalam kenyataan bersama FIA berkata keputusan itu dicapai hasil persetujuan bersama kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Seperti diketahui, perlumbaan GP Bahrain yang sepatutnya berlangsung di Sakhir pada April lalu tetapi dibatalkan berikutan konflik dan situasi tidak menentu di rantau Asia Barat.
Kemasukan SIC dalam kalendar F1 menjadikan jumlah perlumbaan musim ini kembali kepada 23 pusingan namun masih wujud spekulasi mengenai dua perlumbaan terakhir musim ini di Qatar dan Abu Dhabi.
Berdasarkan sumber, litar Imola di Itali yang juga litar keramat pasukan Ferrari sedang dipertimbangkan sebagai lokasi perlumbaan penutup musim sekiranya kedua-dua perlumbaan di Asia Barat itu turut dibatalkan.
Untuk GP Bahrain yang dijadual semula, ia akan berlangsung di antara GP Azerbaijan pada 26 September dan GP Singapura pada 11 Oktober.
Sebagai rekod, kali terakhir SIC menjadi tuan rumah F1 adalah pada 2017 namun ia kekal menjadi antara gelanggang kegemaran ramai pelumba di kejuaraan itu.

