MALAYSIA Tak Rancang Anjur Semula F1, Kos Tinggi, Kalendar Dah Padat!

Selain yuran hak penganjuran F1 yang tinggi berjumlah RM 1.5 bilion (5 tahun), Malaysia sebagai tuan rumah turut perlu menanggung kos penyediaan fasiliti yang tinggi serta kalendar perlumbaan berkenaan sudah pun padat ketika ini

TERKINI

8/21/20252 min read

Formula 1
Formula 1

PERKEMBANGAN yang mungkin mengecewakan khususnya buat peminat kejuaraan Formula 1 (F1) tanah air apabila Malaysia tidak merancang untuk menganjurkan semula perlumbaan elit empat roda itu atas beberapa sebab termasuk kos yuran hak penganjuran yang tinggi, berjumlah RM 1.5 bilion untuk tempoh lima tahun.

Selain yuran hak penganjuran, Malaysia sebagai tuan rumah turut perlu menanggung kos penyediaan fasiliti yang tinggi serta kalendar perlumbaan berkenaan sudah pun padat ketika ini.

Dibincangkan di Parlimen, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menjelaskan sebelum mempertimbangkan penganjuran semula kejohanan F1 di Malaysia, ada beberapa faktor perlu diteliti dengan lebih terperinci.

"Penganjuran kejohanan F1 di Malaysia setiap tahun akan memerlukan kerajaan untuk melabur sekitar RM300 juta setahun untuk membayar yuran hak penganjuran kepada Liberty Media, iaitu pemegang hak komersil F1.

"Secara amnya, Malaysia perlu mengikat kontrak penganjuran sepanjang tiga sehingga lima tahun dengan Liberty Media dan ini akan membabitkan komitmen yuran hak penganjuran kejohanan F1 sekitar RM1.5 bilion untuk tempoh berkenaan," katanya.

Hannah memberi jawapan berkenaan bagi menjawab pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini dengan soalan diberikan oleh Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu).

Begitupun, Hannah berkata Litar Antarabangsa Sepang masih mengekalkan penarafan homologasi litar Gred 1 Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) yang memerlukan sebanyak RM 10 juta setiap tahun untuk memastikan keselamatan litar dan fasiliti sokongan menepati standard penarafan itu.

Mengulas lanjut, Hannah menjelaskan dengan pelaburan RM 300 juta setahun, ia sebenarnya boleh digunakan untuk menampung pelbagai program penting di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Sebagai contoh, melalui peruntukan itu, kementerian dapat melaksanakan program pembangunan 20 jenis sukan yang melibatkan seramai 363 atlet podium serta 9,834 atlet pembangunan bakat dengan kos keseluruhan sebanyak RM124.1 juta setahun.

"Dengan jumlah RM 300 juta juga, KBS mampu menampung beberapa kali ganda pelaksanaan program ini, iaitu bersamaan dua tahun atau empat tahun penuh pelaksanaan program pembangunan itu," katanya.

Mengenai kalendar perlumbaan yang padat, Hannah berkata jika mahu menganjurkan semula F1, Malaysia perlu bersaing dengan negara lain bagi merebut tempat.

"Singapura sudah menganjurkan F1 sejak tahun 2008 dan Thailand juga bakal menjadi salah satu destinasi perlumbaan F1 bermula tahun 2028. Jadi penganjuran oleh negara lain dalam rantau Asia Tenggara boleh menjejaskan pulangan penganjuran di Malaysia," katanya.