MALAYSIA Tuan Rumah Edisi Sulung APMC 2023, Dari 30 Sept-1 Okt Di Sepang!

TERKINI

9/18/20231 min read

MALAYSIA dijadualkan menjadi tuan rumah edisi pertama Kejohanan Sukan Permotoran Asia Pasifik (APMC) 2023, acara sukan permotoran yang menghimpunkan pelbagai jenis disiplin perlumbaan dalam satu 'gelanggang'.

Seperti biasa, litar kebanggaan negara Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan menjadi venue untuk APMC 2023 yang dijadual bermula dari 30 September hingga 1 Oktober ini.

Disifatkan bakal merevolusikan dunia sukan permotoran di rantau Asia Pasifik, APMC 2023 diwujudkan dengan misi untuk menyediakan platform lebih mudah diakses peminat, pasukan dan juga pemandu.

Menjadikan kejayaan penganjuran dwitahunan Sukan Permotoran FIA sebagai inspirasi, penganjuran APMC menyasarkan untuk menyediakan platform lebih mampu milik sekali gus dapat mencari bakat baharu yang bakal meraih pengalaman pada skala lebih besar.

Mengulas mengenai penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah APMC 2023, Presiden Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir mengakui amat berbesar hati dengan pengiktirafan yang diberikan oleh FIA itu.

Katanya, pengiktirafan ini membuktikan yang MAM dan Malaysia secara keseluruhan menjadi antara penyumbang utama dalam pertumbuhan dan pembangunan sukan permotoran di Rantau Asia Pasifik.

Menurutnya, APMC adalah mengenai membuka pintu bakat-bakat dan penggiat sukan itu ke pentas antarabangsa selain membolehkan mereka yang terbabit berkongsi minat dan kemahiran dengan khalayak lebih luas.

Justeru, pasukan pemandu dan peserta akan memperoleh banyak manfaat daripada pendedahan dan pengalaman yang hanya dapat dirasai menerusi penganjuran kejohanan seperti ini.

Sebagai info, sebanyak lima disiplin sukan akan dipertandingkan di APMC 2023 nanti dan ia diselia dan tertakluk di bawah Peraturan Pertandingan Kebangsaan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), yang menggabungkan Kod Sukan Antarabangsa FIA.

Lima disiplin sukan permotoran itu adalah Karting, karting Slalom, Auto-Gymkhana, Rali dan e-Sukan.

Sebanyak 23 buah negara dijadual menyertai APMC 2023 antaranya Australia dan kesemuanya akan bersaing untuk merebut pingat emas dalam setiap disiplin. Dan pungutan pingat akan menentukan pemenang keseluruhan.

Kontinjen Malaysia akan diuruskan oleh pemandu berpengalaman dan pemenang perlumbaan Kejuaraan Endurance Dunia FIA, Jazeman Jaafar.