MALAYSIA VESPA Festa 2023 Di JB Tampil Meriah, Padat Pengisian Menarik Termasuk Konvoi!

TERKINI

9/18/20231 min read

SEBAGAI antara cara untuk meraikan pemilik dan peminat skuter jenama klasik Itali, Vespa di Malaysia, Piaggio Malaysia, minggu lalu menganjurkan Malaysia Vespa Festa 2023 yang menyaksikan Johor Bahru tampil sebagai 'tuan rumah'.

Acara yang berlangsung selama tiga hari itu bermula pada Jumaat (15 September) menerusi perjalanan konvoi Vespa Malaysia yang bermula di Motoplex Petaling Jaya ke Iskandar Puteri, Johor.

Perjalanan sejauh kira-kira 330 km itu berjalan lancar tanpa sebarang isu yang rumit dengan kira-kira 50 peserta konvoi selamat tiba di tempat berkumpul Zus Coffee Iskandar Puteri sebelum diteruskan ke Hotel Big Box Sunway.

Dan sempena sambutan Hari Malaysia 2023 pada 16 September, turut berlangsung acara 'Treasure Hunt' membabitkan peserta selain aktiviti utama berkonvoi dari Hotel Big Box Sunway ke Motoplex JB di Stulang.

Apa yang menarik, pejalanan konvoi itu turut merangkumi perjalanan ke gelanggang keramat JDT, Stadium Sultan Ibrahin selain Laman Mahkota Istana Bukit Serene untuk bergambar kenangan.

Di Motoplex JB, acara diteruskan dengan pelbagai pengisian termasuk acara utama pelancaran model terbaharu Vespa di pasaran tempatan, Vespa GTV 300 (2023).

Menjadi 'bintang' di acara berkenaan, Vespa GTV 300 (2023) dijual pada harga asas RM 35,900.

Selain itu, turut ditayangkan di Motoplex JB adalah Vespa 'kayangan', Vespa 946 10° Anniversario Lunar Edition yang dijual pada tanda harga menarik, RM 99,900 (asas).

Tiba dalam unit terhad, 20 unit untuk pasaran Malaysia, kesemua unit yang diperuntukkan dikhabarkan sudah habis dijual.

Sementara itu, pihak Piaggio Malaysia turut mengumumkan yang Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah kepada Malaysia Vespa Festa 2024 yang dijadual pada bulan Mei depan. Penang, tunggu kami datang!