MAM Bike Trackday 2025 x Braaap Motorsports Lakar Sejarah, Siap Ada Pengalaman Ala 'DRE'!
Inisiatif yang julung kali diadakan sempena MAM Bike Trackday 2025 x Braaap Motorsports bukan sekadar penganjuran track day biasa, namun turut bermatlamat merapatkan jurang antara peminat motosikal amatur dengan pelumba profesional negara serta meningkatkan aspek keselamatan di litar
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/26/20252 min read


PENGANJURAN MAM Bike Trackday 2025 dengan kerjasama Braaap Motorsports melakar sejarah tersendiri apabila ia turut membawa pengalaman ala Ducati Riding Experience (DRE) yang dikenali BRAAAP Riding Experience (BRE).
Inisiatif yang julung kali diadakan ini bukan sekadar penganjuran hari litar (track day) biasa, namun turut bermatlamat merapatkan jurang antara peminat motosikal amatur dengan pelumba profesional negara, di samping meningkatkan aspek keselamatan di litar.
Pengerusi Kelab Bermotor Braaap, Azuan Izadee Md Nordin, berkata idea BRE tercetus hasil pengalaman peribadinya menyertai program DRE di Buriram, Thailand dan Mugello, Itali yang terbukti berkesan meningkatkan kemahiran pengendalian jentera berkuasa tinggi.
Menurut Azuan, Braaap Motorsports yang aktif sejak 2015 kini melangkah setapak lagi pada tahun 2025 dengan meneroka segmen Superbike, namun menyedari wujudnya keperluan untuk pengalaman tunggangan yang betul.
"Saya sendiri bermula tanpa asas Superbike. Apabila beli motosikal, tidak tahu hendak belajar dengan siapa. Tetapi, selepas menyertai DRE di Buriram dan dilatih oleh pelumba profesional antarabangsa, peningkatan kemahiran sangat ketara.
"Kita tidak menyasarkan untuk melahirkan pelumba MotoGP semata-mata, tetapi mahu penunggang menikmati jentera dengan cara yang betul. Melihat keberkesanan modul di sana, saya rasa ia patut dibawa ke Malaysia kerana belum ada pihak yang melakukannya secara komprehensif," kata Azuan.
Merapatkan Jurang, Hargai Pelumba Pro Tempatan
Azuan menjelaskan, BRE kali ini mendapat sokongan padu pelumba profesional negara seperti bekas pelumba Moto2 dan WorldSBK negara, Zaqhwan Zaidi, Helmi Azman, pelumba 'otai' Fazli Sham dan menariknya untuk kali ini, pelumba muda berbakat negara, Hakim Danish Ramli.
Jelasnya, Malaysia mempunyai barisan pelumba profesional berkualiti tinggi setaraf pelumba antarabangsa dengan kemahiran luar biasa yang boleh dikongsikan.
"Wujud jurang besar antara komuniti track day dengan pelumba profesional. Melalui program ini, kita gabungkan kedua-duanya. Peserta track day boleh belajar terus daripada pelumba pro, manakala pelumba pro pula mendapat pendedahan serta penghargaan daripada peringkat akar umbi.
"Sebagai contoh, pelumba berpengalaman seperti Fazli Sham memiliki ilmu yang sangat mahal. Melalui platform ini, peserta tidak lagi segan untuk menimba ilmu secara terus, malah ia membuka peluang kerjaya baharu buat bekas pelumba untuk menjadi tenaga pengajar," katanya.
Utamakan Keselamatan dan Teknik
Mengulas mengenai aspek keselamatan, Azuan menegaskan bahawa program ini menyelesaikan masalah utama dalam penganjuran track day konvensional yang sering mencampurkan pelumba amatur dan profesional dalam satu sesi.
"Biasanya, penganjur mencampuradukkan semua kategori yang mana agak berbahaya bagi pemula kerana tidak tahu garisan perlumbaan yang betul.
"Melalui pendedahan MAM Bike Trackday x Braaap Motorsports ini, peserta diajar teknik yang tepat. Apabila kemahiran meningkat, secara automatik tahap keselamatan di litar juga meningkat," katanya.
Cari Rakan Strategik
Azuan dalam pada itu mendedahkan penganjuran sulung program ini menerima sambutan luar biasa walaupun pendaftaran dibuka dalam tempoh singkat, dengan 100 peratus peserta menantikan siri seterusnya.
Azuan memaklumkan, pihaknya sudah merangka beberapa tarikh di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi kalendar 2026, namun kini sedang giat mencari penaja korporat untuk memastikan kelangsungan dan kualiti BRE.
"Kita mahu jadikan ini sebagai agenda pembangunan sukan permotoran yang mampan. Justeru, sokongan daripada pihak penaja amat dialu-alukan bagi merealisasikan misi melahirkan penunggang yang lebih kompeten dan selamat di Malaysia," katanya.



















