MAM Perkenalkan Garis Panduan Komprehensif Sukan Drag, Motocross
BERITA
8/29/20242 min read
SEBAGAI cara untuk meningkatkan keselamatan dan profesionalisme sukan permotoran tempatan, Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), hari ini memperkenalkan garis panduan komprehensif untuk dua kategori perlumbaan iaitu drag dan motocross.
Menurut MAM, garis panduan ini meliputi aspek pengenalan, perundangan, penguatkuasaan, keselamatan dan pengendalian penganjuran bagi kedua-dua sukan permotoran ini dan ia sudah pun diluluskan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Dilancarkan di Majlis Sukan Negara, majlis pelancaran Garis Panduan berkenaan dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
“MAM ingin berterima kasih kepada pihak KBS kerana melalui kerjasama ini dua garis panduan berjaya dikeluarkan dan ia satu initiatif penting untuk pembangunan sukan permotoran Malaysia,” kata Mokhzani.
"Dengan perlaksanaan garis panduan ini, ia membuktikan yang MAM sentiasa peka dan meletakkan garis panduan ini keutamaan bagi setiap penganjuran perlumbaan terutamanya drag dan motocross.
"Tumpuan kepada keselamatan dan profesionalisme akan memupuk komuniti sukan permotoran yang lebih mampan dan inklusif yang boleh berkembang maju untuk tahun-tahun akan datang."
Dengan tujuan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan terkawal bagi kedua-dua sukan permotoran popular berkenaan, pengenalan garis panduan itu turut termaktub mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576), Seksyen 34 Akta 576.
Untuk menghasilkan garis panduan itu, pihak MAM menjalin kerjasama dengan pihak Jabatan Belia dan Sukan Negara serta pihak berkaitan dan antara yang dianjurkan termasuklah Bengkel Pemurnian Modul Disiplin Sukan Drag dan Motocross, baru-baru ini.
Menurut MAM, pengenalan garis panduan itu bukanlah untuk menambah karenah birokrasi tetapi untuk memastikan keselamatan selain membantu industri sukan permotoran untuk mendapat akses yang lebih besar kepada geran KBS.
Selain itu, pelaksanaan garis panduan ini dijangka dapat memupuk suasana sukan permotoran yang lebih teratur dan selamat di Malaysia selain dapat mengurangkan risiko kemalangan seterusnya meningkatkan pelaksanaan aktiviti sukan bermotor yang terkawal dan selamat.
Untuk informasi lanjut, garis panduan ini akan tersedia untuk dimuat turun di laman web MAM (www.mam.org.my) dan saluran media sosial. Selain itu, ia juga boleh diakses di laman web KBS.
Info
Sukan Lumba Drag
Perlumbaan jentera 4 roda dan 2 roda yang terbahagi kepada dua definasi berbeza iaitu dari segi ujian kepantasan masa dengan catatan berseorangan atau dua jentera dilepaskan dalam satu masa.
Perlumbaan dilangsungkan dalam suatu litar yang pendek dan lurus dari kedudukan mula, mengikut jarak 201 meter atau 402 meter.
Sukan Lumba Motocross
Perlumbaan yang dianjurkan di litar 'off-road' menggunakan jentera 2 roda.
Sukan ini menguji kemahiran, kelajuan dan ketangkasan pelumba dan membabitkan kategori profesional dan amatur. Ia dianjurkan di seluruh dunia dan dipertandingkan dari semua peringkat.
