MAM Sahkan Tak Lulus, Iktiraf Perlumbaan Drag Bike National ET Record Championship 2023

TULAR

9/5/20232 min read

SATU lagi perkara mendukacitakan membabitkan arena sukan permotoran negara terjadi susulan kes kematian pelumba atau 'Joki' ESR, Hattem Rashdi yang terbabit kemalangan ketika acara Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023.

Turut terkesan dengan kes berkenaan, badan induk sukan permotoran negara, Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) tampil dengan kenyataan media, hari ini bagi menjelaskan perlumbaan yang berlangsung di Pekan, Pahang, minggu lalu itu.

Dan seperti dijangka, perlumbaan itu disahkan tidak mendapat kelulusan atau diiktiraf oleh badan induk itu.

"MAM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah. Untuk makluman, acara Bike National ET Record Championship 2023 tidak diluluskan dan diiktiraf (Sanctioned) oleh pihak MAM.

"MAM ingin menegaskan bahawa kami tidak menyokong acara yang tidak diiktiraf dimana keselamatan pegawai, pelumba, penonton dan penganjur amat penting selain untuk memastikan setiap penganjuran dijalankan dengan mengikut aspek-aspek keselamatan yang telah ditetapkan.

"Seperti semua sedia maklum, sukan permotoran merupakan sukan yang merbahaya. Oleh itu, mana-mana pihak yang ingin menyertai sukan permotoran baik selaku penganjur, pemilik litar atau pelumba berkewajipan untuk mematuhi segala peraturanperaturan dan protokol-protokol ketat yang telah ditetapkan demi memastikan tahap keselamatan yang tertinggi, meningkatkan persaingan dan akhirnya memberi peluang kepada pelumba dan penonton untuk menikmati acara perlumbaan tersebut," menurut kenyataan dikeluarkan.

Menurut MAM, acara-acara sukan permotoran yang dikawal selia atau diiktiraf akan memberi parameter yang jelas kepada penganjur dan peserta mengenai persekitaran perlumbaan yang selamat, penglibatan marshal serta pegawai-pegawai perlumbaan yang berkelayakan dan berpengalaman, persediaan litar yang merangkumi aspek keselamatan, pasukan perubatan dan perlindungan insuran kepada penonton, pelumba, pegawai dan penganjur.

Justeru, para penganjur amat digalakkan untuk menjadikan acara-acara mereka diluluskan dan dikawal selia menerusi bekerjasama dengan pihak MAM.

Begitupun kata MAM, kelulusan dan pengawalan selia mana-mana acara adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah pihak FIA, FIM serta Peraturan-Peraturan Pertandingan Kebangsaan (NCR), yang dikenakan, dipantau dan harus dipatuhi tanpa kompromi.

Sebagai info, susulan kemalangan yang videonya turut tular di media sosial, Hattem Rashdi, 22 meninggal dunia selepas bertarung nyawa lebih 12 jam di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Pada Oktober tahun lalu, seorang pelumba acara Battle of The King (BOTK) 2022 di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, Terengganu maut selepas keretanya mengalami kemalangan ketika berlumba.