MANNOL Malaysia Penaja Utama BRAAAP 2 Hours Endurance (B2H) 2026
Kerjasama Mannol dan Braaap Motorsports menandakan langkah strategik syarikat pelincir terkemuka global itu untuk meluaskan pengaruhnya di Malaysia yang sebelum ini lebih tertumpu kepada kenderaan empat roda kepada pasaran motosikal secara agresif
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/29/20262 min read


JENAMA minyak pelincir premium dan berteknologi tinggi dari Jerman, MANNOL secara rasmi diumumkan sebagai penaja utama perlumbaan enduran berprestij, Braaap 2 Hours Endurance (B2H) bagi edisi 2026.
Tajaan ini menandakan langkah strategik syarikat pelincir terkemuka global itu untuk meluaskan pengaruhnya di Malaysia yang sebelum ini lebih tertumpu kepada kenderaan empat roda kepada pasaran motosikal secara agresif.
Pengarah Urusan MANNOL Malaysia, Mohd Haris Fathimi Zakria, berkata pihaknya melihat potensi luar biasa dalam industri dua roda dan memilih platform perlumbaan khasnya B2H kerana kedudukannya yang cukup dekat dengan komuniti penunggang di negara ini.
"Selepas sekian lama fokus kami tertumpu kepada kereta, kini tiba masanya kami meneroka segmen motosikal secara serius. BRAAAP adalah platform terbaik kerana ia sejajar dengan misi kami untuk lebih dekat dengan pengguna.
"Melalui perlumbaan 'endurance' dan sesi 'trackday' ini, kami dapat membuktikan prestasi dan ketahanan sebenar produk MANNOL di atas litar, yang mana ia adalah ujian tunggangan paling ekstrem," katanya.
Menyentuh mengenai strategi untuk memenangi hati pengguna motosikal, Haris yakin reputasi cemerlang perlindungan enjin MANNOL kepada kereta mampu diterjemahkan dengan sempurna kepada kenderaan dua roda.
"Budaya permotoran di Malaysia sangat unik, dari kapcai yang digunakan untuk mencari rezeki sehinggalah 'superbike' yang melayan selekoh pada hujung minggu. Kami tidak mahu sekadar buat iklan kosong.
"Sebaliknya, kami 'turun gelanggang' menganjurkan acara perlumbaan dan bekerjasama rapat dengan BRAAAP supaya komuniti penunggang dapat merasai sendiri prestasinya. Apabila ia digabungkan dengan program yang akan kami lancarkan tak lama lagi, keyakinan penunggang akan datang dengan sendirinya," katanya.
Kepada yang tidak tahu, produk minyak pelincir MANNOL dikuasakan dengan inovasi perlumbaan iaitu teknologi SCT Ester Tech yang direka khusus untuk disesuaikan dengan kegunaan harian.
"Apa yang tahan lasak di litar, itulah spesifikasi yang kami bawa ke jalan raya. Inovasi ini membolehkan enjin lebih sejuk, tidak mudah semput meredah cuaca panas atau kesesakan trafik, malah penukaran gear menjadi lebih lancar. Kami mahu penunggang muda merasai sensasi prestasi 'racing' dengan ketahanan tunggangan harian," tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi BRAAAP Motorsports, Azuan Izadee, menyifatkan kehadiran jenama gergasi antarabangsa seperti MANNOL sebagai satu pengiktirafan yang amat membanggakan buat sukan permotoran tempatan.
"Kami amat berbangga dan berbesar hati apabila jenama premium Jerman memilih untuk bersama keluarga BRAAAP. Kerjasama ini bukan sekadar satu penajaan komersial, tetapi satu sinergi berkuasa yang akan melonjakkan standard perlumbaan B2H ke satu aras baharu.
"Sokongan ini membuktikan penganjuran B2H diiktiraf di peringkat tinggi. Kami optimis perlumbaan musim 2026 bakal menjanjikan aksi yang lebih sengit, selamat, dan bertaraf antarabangsa buat para pelumba," katanya.
Dalam pada itu, pihak MANNOL turut memuji semangat luar biasa yang ditonjolkan oleh komuniti permotoran akar umbi yang bernaung di bawah payung BRAAAP Motorsports.
"Kategori motosikal yang diketengahkan oleh BRAAAP adalah sasaran kumpulan pengguna tepat kami. Mereka bukan sekadar penggerak budaya permotoran, malah menjadi testimoni hidup dan platform paling jujur dalam berkongsi kehebatan produk MANNOL," kata Haris.
B2H 2026 yang turut mencipta sejarah tersendiri sebagai perlumbaan ketahanan dua jam pertama di Malaysia membabitkan jentera berkuasa tinggi dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 31 Ogos ini sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Menurut penganjur, edisi kali ini dijangka tampil lebih gah dan kompetitif apabila perlumbaan berstatus ketahanan dua jam bagi kategori Superbike serta Supersport 'time attack' itu bakal menggunakan keseluruhan Litar Antarabangsa Sepang berbanding hanya separuh trek pada edisi terdahulu.



