MARC, Alex Marquez Pilihan Utama Menang Di Qatar - Pecco Bagnaia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/11/20251 min read

FRANCESCO Bagnaia enggan terbuai dengan kata-kata rakan sepasukannya di Ducati Lenovo, Marc Marquez yang menyifatkan dia memiliki kelebihan ketika beraksi di Qatar.

Sebaliknya, juara dunia MotoGP dua kali itu meletakkan Marc dan adiknya, Alex Marquez sebagai pilihan utama untuk menakluk perlumbaan di Litar Losail yang berlangsung pada waktu malam itu.

Segar dengan kemenangan di Austin, Bagnaia berkata sasarannya adalah untuk terus membina momentum pada litar yang disifatkan sebagai 'serasi' dengan gaya tunggangannya itu.

"Marc sudah pun kompetitif di sini pada tahun lalu (bersama Gresini). Jadi saya menjangkakan Marc dan Alex adalah dua pilihan utama," kata Bagnaia memetik laporan Crash.net.

"Jadi saya menjangkakan yang Marc akan laju sejak pusingan pertama di Losail, seperti tiga pusingan sebelum ini.

"Benar yang Marc akan menjadi begitu kompetitif di sini, sekalipun ia mungkin bukan salah salah satu litar kegemarannya. Alex juga sama.

"Jadi apa yang penting adalah kami bekerja seperti apa yang kami lakukan pada awal musim ini dan mengambil satu lagi langkah."

Bagnaia memperoleh kemenangan di Austin selepas Marc melakukan kesilapan apabila terjatuh ketika sedang memimpin perlumbaan sekali gus menamatkan deretan kemenangannya pada musim ini.

"Kami tahu yang kami menang kerana Marc berdepan kemalangan. Dia meningkatkan jurang setiap pusingan. Potensi saya adalah untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua," kata Bagnaia.

"Kemudian dia kemalangan dan satu-satunya objektif saya adalah untuk menang. Kami melakukan kerja yang amat baik di Austin, langkah yang kami buat adalah bagus tetapi kami belum menyelesaikan kerja kami.

"Kami perlu meneruskannya dengan arah yang sama dan membuat penambah baikkan ketika membrek dan memasuki selekoh."