MARC Marcquez Akan Menang Di Jerez Kalau Tunggang Ducati GP24 - Jorge Lorenzo

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/4/20241 min read

MARC Marquez akan memenangi 'pertarungan' dengan Francesco Bagnaia di Grand Prix (GP) Sepanyol 2024 jika berlumba menggunakan jentera spesifikasi terkini Ducati GP24, dakwa juara dunia tiga kali MotoGP, Jorge Lorenzo.

Selepas insiden di Portimao, Portugal, Bagnaia yang juga pelumba pasukan 'kilang' Ducati Lenovo dan pelumba pasukan satelit Ducati, Marquez (Gresini Racing) sekali lagi 'bertembung' di Jerez bagi penantuan juara.

Dan keputusan akhirnya memihak Bagnaia yang menggunakan jentera Ducati spesifikasi terkini GP24 dan turut mencatatkan rekod baharu sepusingan di Jerez tatkala Marquez yang menunggang GP23 terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Mengulas mengenai pertarungan berkenaan, Lorenzo yang pernah menjadi rakan sepasukan Marquez di Honda selain pernah bergelar pelumba Ducati mengulangi kata-katanya dengan menegaskan GP24 memiliki banyak kelebihan berbanding GP23.

"Pecco ketika itu pada tahap 95 peratus, tetapi apabila Marc datang dan memintasnya, dia menambah 5 peratus lagi dan mencatatkan rekod baharu litar," kata Lorenzo memetik laporan GPOne.

"Jelas yang GP24 kuat di laluan lurus, ia lebih laju kerana enjinnya mampu dikerah lebih tinggi.

"Saya sudah menyatakannya di Qatar tetapi Marc menafikannya dan berkata masalahnya adalah di bahagian kotak gear dan 'Wheelie', tetapi saya fikir GP24 di laluan lurus lebih berkuasa dari sudut pecutan, peranti dan kuasa.

"Apa yang saya lihat adalah Marc terpaksa melakukan brek lewat pada beberapa pusingan terakhir untuk menyaingi kelajuan menakutkan Bagnaia. Dia perlu melakukan perkara itu untuk apa yang diperoleh oleh Pecco ketika memecut di laluan lurus.

"Marquez dengan Ducati 2024 100 peratus akan menang (GP Sepanyol 2024), saya yakin. Kita akan dapat melihatnya apabila dia mendapat jentera yang setara dengan Pecco dan Martin."

Selepas empat pusingan MotoGP berlangsung, pelumba pasukan satelit namun menggunakan jentera spesifikasi terkini, Martin (Pramac Ducati) mengisi tangga teratas carta pendahulu pelumba selepas mengumpul 92 mata.

Bagnaia dalam pada itu mengisi tangga kedua dengan 75 mata dan Marquez berada di tangga ke-6 selepas mengumpul 60 mata.