MARC Marquez Ada Potensi Besar Menang Di Qatar - Jorge Martin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/8/20241 min read

JORGE Martin tidak mahu berselindung dengan menyatakan juara dunia MotoGP enam kali, Marc Marquez berpotensi besar untuk menjuarai perlumbaan pembuka tirai 2024 di Qatar, bulan depan.

Sekalipun sedikit bergelut, Martin yang kekal bersama Pramac Ducati namun menunggang jentera spesifikasi terkini GP24 berjaya mengharungi ujian rasmi pra-musim MotoGP 2024 yang positif di Sepang.

Sepanjang tiga hari ujian berlangsung dan berakhir, hari ini, naib juara dunia MotoGP 2023 itu mencatatkan masa kedua terpantas setiap hari yang membuktikan dia memang antara pelumba berpotensi musim ini.

Begitupun, selepas melihat prestasi yang dilakukan Marquez, terutama pada hari ini, pelumba kelahiran Sepanyol itu mengakui kualiti yang dimiliki rakan senegaranya itu.

"Dia (Marc Marquez) berada di mana saya jangkakan," kata Martin. "Dia akan berada amat hampir untuk mencapai kemenangan di Qatar."

Mengulas lanjut, Martin menjelaskan pemburuan kejuaraan musim 2024 tidak hanya akan membabitkan dirinya dan Francesco Bagnaia namun lebih daripada itu.

"Segala-galanya berjalan seperti yang saya jangkakan," kata Martin mengenai ujian kali ini. "Ada ramai pelumba yang bagus yang akan bersaing merebut kejuaraan musim ini."

Tidak seperti pelumba 'Factory' Ducati Lenovo Bagnaia dan Enea Bastianini yang menggemari 'Fairing' baharu GP24, Martin semalam berpendapat sebaliknya namun isu itu berjaya diselesaikan, hari ini.

"Saya menggunakan 'fairing' baharu semalam dan saya tidak menggemarinya. Kami kemudian mengubah pelarasan. Dan secara serta merta, saya merasa bagus dan melakukan catatan sepusingan yang hebat," kata Martin.

"Saya fikir, saya mengalami sakit kepala semalam kerana saya melihat Pecco dan Enea menggemarinya (Fairing). Tetapi saya tidak. Aneh apabila kami tidak memiliki komen yang sama.

"Jadi hari ini, pada sesi lagi, saya merasa kompetitif. Kemudian saya melakukannya berturut-turut, ia lebih baik, lebih berpotensi."

Ujian rasmi pra-musim MotoGP 2024 dijadual bersambung pada 19 dan 20 Februari ini di Qatar sebelum membuka tirainya juga di Qatar pada 8 hingga 10 Mac depan.