MARC Marquez Akui Akan Ada Litar Akan Bergelut Tapi 'Tak Goyang'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/20/20251 min read

PENDAHULU kejuaraan MotoGP 2025, Marc Marquez melaungkan amaran kepada pencabarnya musim ini yang dia langsung tidak bimbang untuk menghadapi mana-mana pusingan perlumbaan pada baki musim ini.

Begitupun, pelumba Ducati Lenovo itu percaya akan ada litar di mana dia akan bergelut.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu menampilkan persembahan cukup menyakinkan dengan menjuarai keenam-enam Perlumbaan Sprint selain tiga perlumbaan Grand Prix (GP) yang ditawarkan setakat ini.

Keputusan itu meletakkannya di puncak carta kejuaraan dengan kelebihan 22 mata di depan pencabar terdekatnya, Alex Marquez dari Gresini Ducati menjelang GP British di Silverstone, minggu ini.

Berdasarkan rekod, Marc hanya menang sekali di litar berkenaan dalam kelas MotoGP pada 2014, cerita yang agak sama seperti di Qatar di mana kemenangan terakhir diperoleh di Losail adalah pada 2014 sebelum dia menjulang gelaran berganda tahun ini.

Ketika ditanya mengenai baki litar pada musim ini yang dijangka mampu membuatkannya bergelut, Marc tampil dengan nada yang yakin "tiada" sebelum memberikan penjelasan lanjut.

"Itu adalah sasarannya. Tetapi sudah tentu, jika saya benar-benar jujur, akan ada beberapa litar di mana saya akan bergelut.

"Tetapi saya tidak mahu tiba sebelum minggu (perlumbaan) dengan fikiran saya akan bergelut. Selepas Jumaat, saya akan lihat sama ada saya bergelut atau tidak, kerana sejujur-jujurnya selepas GP Qatar, yang sentiasa menjadi GP yang sukar buat saya menjadi satu kejayaan, jadi saya tidak bimbang dengan mana-mana litar.

"Ia (perlumbaan sukar) akan datang, ya, tetapi kami perlu faham yang kini kami sekali lagi mengambil satu kelebihan yang kecil (dalam kejuaraan).

"Jadi sasaran utama adalah cuba untuk tidak mensia-siakan kelebihan seperti yang kami buat di Austin dan Jerez."

Marquez terjatuh ketika sedang mendahului perlumbaan di GP Amerika Syarikat dan terkeluar daripada kedudukan podium apabila berdepan kemalangan ketika GP Sepanyol di Jerez.

Jika berpandukan kepada kalendar musim ini, Marquez masih belum berjaya memenangi di empat gelanggang iaitu di Austria, Indonesia dan Portugal dengan tambahan Hungary yang juga gelanggang baharu bagi kempen 2025.