MARC Marquez Akui Akan Lebih Agresif Di Sachsenring

Marc Marquez tampil dengan keyakinan yang cukup tinggi menjelang perlumbaan di salah satu litar kegemarannya, Sachsenring bagi Grand Prix (GP) Jerman 2025

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/9/20251 min read

PELUMBA Ducati Lenovo, Marc Marquez mengakui akan tampil dengan corak tunggangan lebih agresif pada minggu ini di litar yang sudah lapan kali menobatkannya sebagai juara - Sachsenring, Jerman.

Selepas mendominasi tiga pusingan sebelum ini dengan kemenangan berganda - Sprint dan GP - juara dunia lapan kali itu tiba di salah satu litar kegemarannya Sachsenring di mana dia tidak pernah kalah antara musim 2013 hingga 2021 ketika bersama Honda.

"Hujung minggu ini dijangka akan jauh lebih agresif," kata Marquez memetik laporan Crash.net. "Mugello dan Assen, sekurang-kurangnya di atas kertas, bukan litar yang benar-benar memberikan kelebihan kepada gaya saya.

"Kami berjaya menguruskan segala-galanya sebaik yang mungkin, secara beransur-ansur, tanpa berlebihan, dan kami berjaya bawa pulang mata maksimum yang tersedia.

"Begitupun di sini di Sachsenring, ceritanya sedikit berbeza. Ini adalah litar yang sesuai dengan corak tunggangan saya dan pada tahap ini saya perlu mengekploitasinya sepenuhnya.

"Jika dibandingkan kepada beberapa pelumbaan sebelum ini, kami akan lebih menyerang."

Marquez terlepas perlumbaan di Sachsenring pada musim 2022 dan 2023 berikutan kecederaan yang dihadapinya.

Tetapi pada tahun lalu, dia yang berlumba bersama Gresini Ducati tampil dengan prestasi menakjubkan untuk memulakan saingan di petak ke-13 dan menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Lebih menarik, ia turut mencipta sejarah apabila Marquez turut berkongsi podium dengan adiknya, Alex.

Alex yang juga pelumba Gresini Ducati menghadapi kecederaan jari di Assen namun kekal menghuni tangga kedua carta kejuaraan pelumba MotoGP dengan ketinggalan 68 mata di belakang abangnya.

Sebagai rekod, tiada perlumbaan berlangsung pada 2020 di Jerman susulan pandemik Covid-19.