MARC Marquez Akui Akan Umum Persaraan Jika Tak Tinggalkan Honda

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/14/20241 min read

JUARA dunia lapan kali, Marc Marquez percaya keputusannya meninggalkan Repsol Honda bagi menyertai Gresini Ducati pada musim ini menjadi 'talian hayat' kepada kariernya.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu membuat keputusan untuk melepaskan kontrak mewah bersama pengeluar gergasi Jepun itu untuk menyertai Gresini Ducati yang berstatus satelit.

Dan antara alasan utama juara dunia enam kali MotoGP dan kesemuanya diraih bersama Honda adalah untuk mengetahui sama ada dia masih kompetitif dengan menunggang jentera terbaik di grid.

"Apa yang saya lakukan pada tahun lalu adalah satu kejayaan kerana jika tidak pada tahun ini saya sudah mengumumkan persaraan saya," kata Marquez memetik laporan MotoGP.com

"Pada tahun lalu, banyak persaoalan yang berlegar di kepala saya dan saya mempunyai banyak keraguan.

"Dan selepas setahun, segala keraguan itu hilang dan saya kembali ke tahap yang kompetitif.

"Kita mungkin tidak boleh katakan pada tahap yang sama seperti 2019 tetapi ia kompetitif dan cukup untuk terus berusaha dengan gigih, bekerja keras terutama untuk mendapatkan semula semangat MotoGP dan kemudian dan merasai semula nikmat kemenangan, berada di podium.

"Perasaan, ketegangan apabila bersaing dengan pelumba-pelumba di depan adalah istimewa," katanya.

Bersama Repsol Honda tahun lalu, Marquez meraih tiga podium Perlumbaan Sprint dan satu podium perlumbaan utama yang menyaksikannya menamatkan kempen yang turut dipalit insiden kemalangan di kedudukan ke-14 keseluruhan dengan 84 mata.

Tahun ini, sekalipun menggunakan jentera Ducati GP23, Marquez memperoleh 10 kedudukan podium Perlumbaan Sprint termasuk 1 kemenangan dan 9 podium Perlumbaan GP dengan 3 kemenangan.

Dan dia ketika ini menghuni tangga ke-3 carta keseluruhan pelumab dengan mengumpul 369 mata.

"Apabila sudah lama anda tidak merasai perasaan (kemenangan) itu, anda mula melupakannya," kata Marquez. "Tetapi apabila kamu merasanya semula, kemenangan di Aragon dan Misano, ia seperti ketagihan kamu mahukannya lagi.

"Sebelum ini, kemenangan adalah normal (bersama Honda). Dan selepas ia tidak lagi diperoleh, mentaliti kamu berubah.

"Kemenangan memberikan kamu keyakinan tetapi apabila sudah lama kamu tidak mendapatkannya, kamu akan mula hilang keyakinan, mula mempersoalkan diri kamu. Ketika ini, motivasi saya amat tinggi. Ayuh lihat apa yang saya ada dan boleh lakukan."