MARC Marquez Akui Bayar Harga Tinggi Untuk Gelaran Dunia Ke-9
Pelumba Sepanyol, Marc Marquez menamatkan penantian enam tahun untuk kembali bergelar juara dunia bersama Ducati dan ia dilakukan selepas dia memenangi 11 perlumbaan Grand Prix (GP) dan 14 perlumbaan Sprint semusim
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/21/20251 min read


Juara dunia MotoGP 2025, Marc Marquez mengakui kejayaan merangkul gelaran dunia buat kali ke-9, rekod yang menyamai pencapaian legenda Itali, Valentino Rossi bukanlah sesuatu yang mudah, malah datang dengan pengorbanan besar dari segi fizikal dan mental.
Pelumba Sepanyol itu menamatkan penantian enam tahun untuk kembali bergelar juara dunia bersama Ducati pada musim lalu dan ia dilakukan selepas dia memenangi 11 perlumbaan Grand Prix (GP) dan 14 perlumbaan Sprint dan mengesahkan kejuaraan baki lima pusingan.
Kejayaan itu menutup lembaran sukar selama lima tahun yang bermula dengan kecederaan serius di lengan ketika GP Sepanyol 2020, selain melalui empat pembedahan besar serta perpisahan dengan Honda dalam usaha untuk kembali kompetitif.
"Saya membayarnya dengan harga yang amat tinggi untuk mencapainya dan dalam pelbagai aspek, terutama fizikal dan mental," kata Marquez. "Tetapi lebih daripada itu, saya berharap kebangkitan ini menjadi inspirasi kepada ramai orang, bukan saja dunia sukan, tetapi dalam kehidupan seharian.
"Apabila kamu di atas dan kamu jatuh, kamu tidak hanya jatuh ke lantai, kamu jatuh ke tahap lebih rendah, dan segala-galanya amat gelap di sana. Untungnya, saya mempunyai sistem sokongan yang hebat dan ia membantu saya untuk keluar.
"Kemudian kamu perlu bekerja keras, percaya diri sendiri, dan terus bertambah baik hari demi hari," kata Marquez kepada El Periodico.
Marquez turut menekankan mengenai peranan adiknya, Alex Marquez, yang dianggap paling banyak membantu perjalanannya kembali ke puncak MotoGP.
Katanya, Alex berjaya meyakinkannya untuk menyertai pasukan Gresini Ducati pada 2024, sebelum dia berpindah menyertai pasukan 'kilang' Ducati pada musim berikutnya.
"Alex, secara langsung dan tidak langsung, adalah orang yang paling banyak membantu saya. Ketika cedera, mudah untuk berasa putus asa dan tidak mahu lagi menonton perlumbaan. Tetapi melihat Alex berlumba membuatkan saya terus mengikuti kejuaraan dengan semangat sama, seolah-olah saya sendiri masih berada di litar."

