MARC Marquez Akui Bergelut Di Silverstone
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/24/20251 min read


MARC Marquez terpaksa melihat deretan kemenangannya dalam Perlumbaan Sprint musim ini lebur selepas dikecewakan adiknya, Alex Marquez dalam perlumbaan singkat itu di Grand Prix (GP) British di Silverstone, hari ini.
Selepas mencatatkan rekod bersih enam kemenangan Sprint berturut-turut musim ini, pelumba Ducati Lenovo itu dilihat akan mengekalkan rekod itu apabila memintas pelumba Monster Yamaha, Fabio Quartararo seawal pusingan pertama.
Tetapi disebalik 'kejayaan' itu, pendahulu kejuaraan MotoGP itu yang memulakan perlumbaan di petak ke-4 terpaksa melepaskan kedudukan itu kepada Alex (Gresini Ducati) susulan kesilapan yang dilakukannya.
Dan sekali pun cuba memberi tekanan kepada adiknya hampir keseluruhan perlumbaan, Marc akhirnya akur melihat deretan kemenangannya berakhir dengan Alex melepasi garisan penamat dengan kelebihan 3.5 saat.
"Hari ini adalah hari di mana saya memulakan perlumbaan dengan fikiran mengenai tidak hilang terlalu banyak, tidak meraih, hanya tidak kehilangan, kerana saya bergelut," kata Marc.
"Saya tidak tahu kenapa. Kami mengubah jentera dengan agak banyak sepanjang minggu, tetapi kamu sentiasa memulakan satu perkara pada satu titik, kamu mula melakukan sesuatu dan kemudian kamu kembali ke titik yang sama.
"Jadi saya bergelut. Apabila kamu cuba melakukan banyak pelarasan dan kamu tidak merasa selesa, ia bermakna kamu adalah masalahnya. Jentera bukan masalah, kerana ia adalah sesuatu yang pelumba tersalah faham.
"Apabila kamu mencuba tiga, empat pelasaran berbeza dan masalah masih di sana, ini bermakna kamu adalah masalah, bukan jentera bermasalah. Jadi esok (Ahad) saya perlu memperbaiki gaya tunggangan saya."
Marc dalam pada itu memberi amaran yang Alex akan lebih pantas berbandingnya.
