MARC Marquez Akui Bermula Dari 'Sifar' Di Brno

Segar dengan deretan lapan kemenangan berturut-turut, pelumba Ducati Lenovo, Marc Marquez tetap akui dia tiada 'kelebihan' di litar Brno

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/17/20251 min read

Marc Marquez
Marc Marquez

PELUMBA Ducati Lenovo, Marc Marquez mengakui tidak mempunyai 'kelebihan' di Brno, litar yang pernah memberinya kesukaran ketika bersama Honda pada kempen 2014.

Menurut juara dunia lapan kali yang sedang 'membara' itu, dia akan bermula daripada kosong di Grand Prix (GP) Republik Czech 2025 sekali pun sudah mengharungi lapan kemenangan secara berturut-turut (Sprint dan GP).

Marquez sekali lagi meraih kemenangan berganda di GP Jerman 2025, minggu lalu yang juga kemenangan ke-69 miliknya selain kemenangan berganda (Sprint-GP) ke-4 berturut-turut.

"Saya tiba daripada minggu di mana saya berada dalam semangat untuk menyerang," kata pelumba kelahiran Sepanyol itu. "Saya cuba menguruskan banyak perkara, terutama menimbangkan keadaan cuaca pada Sabtu, tetapi pada akhirnya saya mengambil beberapa risiko dan mencapai sasaran maksimum dari sudut pungutan mata.

"Di sini di Brno kami akan bermula daripada sifar. Saya tidak pernah menunggang di sini menggunakan Ducati, dan dari sudut permukaan litar, kami benar-benar tidak tahu apa yang kami akan temui.

"Ini jelas salah satu litar paling cantik dan mencabar dalam kalendar dan saya tidak sabar untuk turun ke trek."

Pada musim 2014 ketika bersama Repsol Honda, Marquez memperoleh perjalanan cemerlang selepas mengharungi 10 kemenangan secara berturut-turut tetapi dominasi itu berakhir di Brno selepas dia menamatkan perlumbaan di tempat ke-4.

"Ia semudah kami tidak mendapat perasaan yang sama seperti Ahad lain," kata Marquez selepas kekalahan itu yang menyaksikan rakan sepasukannya, Dani Pedrosa menjuarai perlumbaan.

Brno kembali ke kalendar MotoGP pada musim ini selepas kali terakhir pada 2020 dan litar berkenaan juga baru saja menjalani proses penurapan semula.

Marquez ketika ini memiliki kelebihan 83 mata di puncak carta kedudukan pelumba di depan adiknya, Alex Marquez.