MARC Marquez Akui Catalunya Bukan Antara Litar Terbaiknya
Berpandukan kepada statistik, juara dunia lapan kali Marc Marquez hanya pernah menang dua kali di Litar Catalunya, Barcelona iaitu pada musim 2014 dan 2019 bersama Repsol Honda
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/4/20251 min read


KEJAYAAN mengharungi 14 kemenangan berturut-turut membuatkan Marc Marquez seperti mustahil untuk dikalahkan tetapi menuju Pusingan ke-15 MotoGP musim ini di Catalunya, keyakinan pelumba Ducati Lenovo itu tampak tidak berada di puncak.
Malah, juara dunia lapan kali itu turut mengakui yang Litar Catalunya sebagai bukan salah satu litar terbaiknya selepas hanya menang dua kali di venue berkenaan sebelum ini iaitu pada 2014 dan 2019.
Sekalipun berjaya meraih mata maksimum di Catalunya, apa yang dimiliki pelumba Sepanyol itu masih belum dapat mengesahkan gelaran dunia kesembilannya.
Tetapi ia mampu mengesahkan gelaran dunia dalam kategori pengeluar kepada Ducati Lenovo yang pada musim ini hanya kalah dua kali iaitu di GP Perancis dan GP British dan memiliki kelebihan 276 mata di depan pencabar terdekatnya Aprilia.
Secara matematik, Ducati akan menjulang gelaran dunia keenam berturut-turut jika menamatkan kempen di Barcelona dengan kelebihan sekurang-kurangnya 259 mata.
"Ini (Catalunya) bukan salah satu litar terbaik saya, sekurang-kurangnya di atas kertas, malah dari berpandukan kepada keputusan juga," kata Marquez.
"Tetapi, ia adalah perlumbaan di laman sendiri dan suasana yang dicipta oleh peminat sentiasa unik dan istimewa. Sejak daripada ujian bebas pada Jumaat, kami akan cuba untuk memahami nilai sebenar gelanggang ini.
"Kami akan kekal fokus dan membawa pulang sebanyak mana mata yang boleh, memandangkan yang litar yang amat memahami nilai tunggangan dan kemahiran teknikal pencabar-pencabar kami.
Ketika ini, Marquez memiliki kelebihan 175 mata di puncak carta kedudukan pelumba MotoGP di depan adiknya Alex Marquez.
Untuk berpeluang menjulang gelara lebih awal di Misano pada pusingan seterusnya, Marc perlu meningkatkan kelebihannya lepada 185 mata apabila meninggalkan Catalunya.
