MARC Marquez Akui Dua Tahun Di Ducati Lenovo Tak Cukup
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/18/20241 min read
MARC Marquez belum memulakan tugasnya bersama Ducati Lenovo namun juara dunia enam kali MotoGP itu mendedahkan kontrak dua tahun yang ditandatanganinya bersama pengeluar Itali itu tidak mencukupi.
Marquez mencipta kejutan apabila 'dipilih' sebagai rakan sepasukan Francesco Bagnaia bermula musim depan yang turut menyaksikan Ducati hilang tiga pelumba muda berbakat - Jorge Martin, Enea Bastianini dan Marco Bezzecchi.
Pernah menyuarakan kemungkinan untuk bersara sebelum ini, Marquez ketika ditanya Speedweek adakah kontrak di Ducati akan menjadi yang terakhir buatnya berkata:
"Kamu tidak akan tahu, tetapi saya tidak mahukannya," kata Marquez. "Apabila saya merasa kompetitif... dan kompetitif bermakna berada di kedudukan enam terbaik perlumbaan...
"Amat kompetitif pula bermakna berada di kedudukan tiga terbaik.
"Untuk menjulang kejuaraan kamu memerlukan segala kelengkapan, kamu memerlukan segala-galanya berada dalam keadaan baik. Ia berlaku kepada saya ketika ini.
"Tetapi saya mahu kekal lebih panjang daripada dua tahun ini. Malah dua tahun selepas itu."
Kata-kata pelumba yang beraksi bersama pasukan Gresini Ducati itu memberi bayangan pelumba berusia 30 tahun itu mahu berlumba melebihi musim 2027 ketika MotoGP mengharungi satu lagi evolusi membabitkan peraturan.
Ketika ini, Marquez yang sedang memburu gelaran dunia ke-9 untuk menyamakan rekod bersama Valentino Rossi masih belum meraih kemenangan pertamanya bersama Ducati namun hanya ketinggalan 56 mata di belakang pendahulu, Bagnaia di kedudukan ketiga.