MARC Marquez Akui Kesukaran Di Red Bull Ring

Sepanjang tujuh penampilan di Red Bull Ring sebagai pelumba MotoGP, juara dunia lapan kali Marc Marquez tidak pernah bergelar juara di gelanggang keramat pasukan KTM itu

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/14/20251 min read

MARC Marquez
MARC Marquez

SECARA statistik, Marc Marquez sudah mengumpul 70 kemenangan sebagai pelumba MotoGP tetapi tiada satupun daripada kejayaan itu berjaya diperoleh di Red Bull Ring yang menjadi gelanggang Grand Prix (GP) Austria, hujung minggu ini.

Dan peluang untuk menamatkan kemarau itu kembali lagi buat juara dunia lapan kali itu dan menariknya dengan menggunakan lencana Ducati Lenovo.

Sekali pun tidak pernah bergelar juara daripada tujuh penampilannya di Red Bull Ring, pelumba kelahiran Sepanyol itu hampir melakukannya sebanyak tiga kali iaitu pada 2017, 2018 dan 2019.

Menariknya, ketiga-tiga kekalahan itu adalah kepada pelumba Ducati iaitu Andrea Dovizioso dan Jorge Lorenzo dengan Marquez menunggang jentera Honda.

Tetapi dengan memakai lencana Ducati, segenap tumpuan pastinya terarah kepada Marquez yang ketika ini tampil dengan prestasi cukup cemerlang selepas memenangi lapan daripda 12 perlumbaan GP serta 11 perlumbaan Sprint.

"Saya tak sabar untuk kembali ke litar selepas cuti. Saya mengambil cuti dan rehat," kata Marquez.

"Litar di Austria tidak tidak pernah memberikan kepuasan yang hebat kepada saya, tetapi ia sering menyajikan banyak pertarungan sengit sehingga ke selekoh terakhir, meter terakhir sebelum garisan penamat.

"Saya bersedia untuk mengharungi babak kedua pada musim ini dengan cara yang terbaik," kata Marquez yang menyambung semula kempen dengan kelebihan 120 mata di puncak carta kedudukan pelumba di depan adiknya Alex Marquez.

Berbeza dengan Marquez, Ducati sememang cukup dominan di Red Bull Ring dan sejak ia kembali ke calendar MotoGP pada 2016, hanya dua kemenangan terlepas daripada pengeluar Itali itu iaitu menerusi Miguel Oliveira pada 2020 dan Brad Binder pada 2021 yang berlumba bersama KTM.

Selain Red Bull Ring, Marquez turut tidak pernah mencatat kemenangan di tiga lagi litar iaitu di Portimao, Portugal, Mandalika, Indonesia dan Buddh, India.