MARC Marquez Akui Pecco, Alex Ada Lebih Kelebihan Di Qatar

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/10/20251 min read

ALEX Marquez dan Pecco Bagnaia diakui Marc Marquez secara teori memiliki kelebihan berbandingnya di Qatar.

Marc yang juga juara dunia lapan kali tampil dengan prestasi dominan pada kempen MotoGP 2025 dengan memenangi lima daripada enam perlumbaan berturut-turut dan pada satu ketika memiliki kelebihan 19 saat di puncak carta kejuaraan.

Begitupun, ia berubah selepas tamat Grand Prix Amerika Syarikat selepas pelumba pasukan Ducati Lenovo itu mengalami kemalangan sekali gus tidak menamatkan perlumbaan.

Berdasarkan keputusan, Marc tidak pernah menang di Losail sejak musim 2014 dan podium terakhirnya di litar berkenaan adalah pada 2019.

Justeru menurutnya, dua pelumba iaitu rakan sepasukannya, Bagnaia dan adiknya, Alex berpeluang besar untuk lebih menyinar.

"Ia adalah litar pertama secara teorinya Alex dan Pecco lebih baik berbanding saya, berpandukan kepada keputusan terdahulu," kata Marquez memetik laporan Crash.net.

"Tetapi ayuh lihat apa yang saya boleh lakukan. Jika saya kompetitif di sini, ia akan menjadi petanda yang baik untuk saya. Jika tidak, saya akan cuba untuk menjadi lebih baik."

Bercakap mengenai kemalangan yang berlaku di COTA, Marc mengakui ia tidak mengganggu fikirannya malah sudah tahu apa puncanya.

"Ini adalah perlumbaan. Perkara yang bagus adalah kami kemalangan ketika sedang mendahului dengan kelebihan dua dan setengah saat dan saya menunggang dengan amat baik," kata Marquez.

"Ya, saya melakukan kesilapan tetapi saya tahu mengapa. Saya terlalu memperlahankan jentera pada selekoh tiga dan kemudian saya bangkit terlalu cepat pada selekoh empat.

"Tetapi OK, ia sudah berlaku. Perkara yang baik adalah dengan kesilapan yang besar kami masih di tangga kedua kejuaraan, hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu.

"Jadi di sini ia nampaknya seperti segala-galanya dimulakan semula dan lihat apa yang boleh kami lakukan pada minggu ini."