MARC Marquez Akui 'Perlu Belajar' Dari Pecco

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/20/20241 min read

MARC Marquez melepasi garisan penamat Grand Prix (GP) Qatar 2024 sebagai pelumba Ducati terbaik menunggang GP23 dan keputusan itu menyedarkannya masih banyak perlu dipelajari terutama daripada penyandang juara dunia, Francesco Bagnaia.

Pada aksi di Losail, Marquez yang meninggalkan Honda untuk menyertai pasukan satelit Gresini Ducati musim ini melepasi garisan penamat 3.429 saat di belakang Bagnaia.

Justeru, pelumba pasukan 'Kilang' Ducati Lenovo yang dikenali Pecco itu dan data yang dimilikinya patut menjadi penanda aras terutama bagi mendapatkan keputusan lebih baik kepada pelumba Ducati lain pada pusingan berikutnya.

"Saya perlu berada di podium. Saya hampir merapatkan jurang dengan (Jorge) Martin. Tetapi apapun ia masih baik," kata Marquez memetik laporan Crash.net. "Jika ujian di Valencia mereka memberitahu saya akan menamatkan perlumbaan di tempat keempat, saya akan memberikan tandatangan saya.

"Ini (Losail) tidak pernah menjadi salah satu daripada litar kegemaran saya jadi menamatkan perlumbaan di tempat keempat adalah keputusan yang baik.

"Kami akan menganalisa data. Bagnaia menamatkan perlumbaan tiga saat di depan kami dan dia adalah penyandang juara. Kami perlu belajar daripadanya untuk terus meningkat."

Selain Bagnaia yang menggunakan jentera Ducati GP24, pemenang tempat kedua dari KTM, Brad Binder dan Martin juga menggunakan jentera spesfikasi terkini.

Tetapi bagi Marquez, itu bukan satu-satunya sebab di tidak mampu menewaskan mereka di Qatar.

"Tidak. Mereka laju. Seorang adalah juara dunia, dan seorang lagi adalah naib juara. Dan mereka lebih pantas berbanding orang lain tahun lalu pada babak kedua musim lalu," kata Marquez.

"Jadi saya tidak fikir ia hanya membabitkan GP24. Saya mempunyai jentera saya, kelengkapan dan apabila saya menandatangani kontrak, saya sudah tahu apa yang saya ada. Jadi jentera berfungsi dengan baik tetapi mereka menunggang lebih baik daripada saya.

"Tetapi saya akan meneruskannya dengan gaya saya, saya mahu menjadi sabar tahun ini, mahu menikmatinya sekali lagi, saya mahu bersaing bagi posisi lima terbaik dan itulah yang saya lakukan di Qatar," katanya.

Tahun lalu, Marquez meraih petak utama di GP Portugal yang dijadual berlangsung hujung minggu ini. Selepas meraih podium pada Perlumbaan Sprint, pelumba Sepanyol itu berdepan kemalangan dengan Miguel Oliveira yang mengakibatkan kedua-duanya cedera.