MARC Marquez Akui Sedikit Gemuruh Hadapi Buriram

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/27/20251 min read

TIBA di Buriram, Thailand minggu ini dengan status juara dunia lapan kali tidak dapat menghilangkan perasaan gemuruh Marc Marquez menjelang debutnya bersama pasukan 'kilang' Ducati Lenovo.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu dianggap sebagai salah satu pelumba pilihan untuk mencabar kemenangan di Thailand selepas mengharungi sesi ujian pra-musim yang baik.

Malah, bekas pelumba Gresini Ducati dan Repsol Honda itu menguasai ujian pra-musim terakhir di litar yang sama pada pertengahan bulan ini dengan sesi di Sepang dan Barcelona dikuasa adiknya, Alex Marquez.

Tetapi disebalik petunjuk yang cukup positif ketika musim sejuk, pelumba kedua paling tua di grid MotoGP 2025 itu mendedahkan turut merasa gemuruh menjelang perlumbaan pertama musim ini itu.

"Saya sentiasa ada perasaan gemuruh sedikit berbanding daripada apa yang sepatutnya untuk perlumbaan pembuka tirai musim, ia sentiasa Grand Prix yang istimewa," kata Marquez memetik laporan Crash.net.

"Saya sentiasa gembira untuk berlumba di Thailand, kami tiba di sini selepas mengharungi ujian pra-musim yang baik dan dengan asas yang baik, kami bekerja dengan amat keras dan baik bersama pasukan.

"Perlumbaan, benar adalah perkara yang berbeza, kamu perlu mengambil berat segala perincian, tetapi saya benar-benar mahu memulakan dan melakukannya dengan baik, ia akan jelas akan membantu untuk mengharungi musim ini," katanya.