MARC Marquez mengakui pemburuan kejuaraan dunia MotoGP musim ini sudah berakhir buatnya selepas berdepan situasi tidak diigini di Grand Prix Indonesia, minggu lalu.
Pelumba Gresini Ducati itu terpaksa melupakan perlumbaan GP lebih awal di Mandalikan selepas kerosakan enjin menyaksikan jenteranya Ducati GP23 berasap.
Lebih mengecewakan, juara dunia lapan kali itu ketika insiden berlaku mengisi kedudukan ke-7 sekalipu memulakan perlumbaan di petak ke-12.
Selepas beberapa kali cuba merapatkan jurang, keputusan menyaksikan Marquez kini ketinggalan 78 mata di belakang juara GP Indonesia 2024, Jorge Martin dan mengakui masa buatnya melakar kejayaan sudah suntuk berbali 5 pusingan.
"Saya sedih (terkeluar daripada persaingan) tetapi sasaran saya (2024) sudah pun lengkap," kata Marquez memetik laporan Motorsport.
"Saya hanya cuba menetapkan sasaran bagi setiap perlumbaan, saya cuba mencari konsistensi dalam perlumbaan jadi ia bagus apabila saya melakukannya.
"Langkah seterusnya adalah untuk memperbaiki sesi kelayakan, jadi saya akan cuba memberikan tumpuan paling tinggi pada pusingan berikutnya untuk menjadi lebih baik dan berada di dua barisan depan. Ini adalah sasaran saya seterusnya."
Mengulas aksinya di Mandalika, Marquez berkata dia dapat merasakan kelajuan yang dimilikinya sama seperti bakal rakan sepasukannya di Ducati Lenovo musim depan, Francesco Bagnaia.
"Malangnya, kerosakan enjin," kata Marquez. "Ia adalah sesuatu yang di luar kemampuan kami, tetapi kadang kala ia berlaku dan hari ini ia berlaku kepada saya.
"Kami tidak bertuah tetapi bersama Ducati, Gresini dan diri saya, kami menang dan kalah bersama. Hari ini kami berdepan masalah, tetapi perasaan saya cukup bagus sepanjang minggu dan ini perkara paling utama."