MARC Marquez Akui Tahap Kompetitif Makin Hampiri Musim 2019

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/10/20241 min read

MARC Marquez mengakui dua kemenangan MotoGP yang diraih di Grand Prix (GP) Aragon dan San Marino 2024 membuatkannya menghampiri tahap kompetitif seperti ditunjukkan pada musim 2019 yang menyaksikannya merangkul gelaran dunia ke-8.

Selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan, juara dunia lapan kali itu meninggalkan Repsol Honda dan menyertai Gresini Ducati musim ini untuk mengetahui sama ada dia masih boleh mencabar kemenangan.

Dan pelumba Sepanyol itu berjaya membuktikan dia bukan saja mampu menaiki podium, malah melakar kemenangan dan menariknya, berganda.

Ketika ditanya sama ada dia sudah mendapat semula prestasi terbaiknya terutama pada 2019, Marquez berkata masih ada beberapa perkara perlu diperbaiki.

"Ya, 2019..., 2021 juga tidak begitu teruk," kata juara dunia MotoGP enam kali itu memetik laporan Crash.net. "Ada tempoh ketika di Aragon, Austin, Misano (2021) yang tidak buruk.

"Tetapi adalah benar dengan kondisi normal yang kami peroleh di Misano, ia adalah daripada 2019... tetapi, 2019 masih lagi jauh.

"Tetapi saya dapat merasakan yang saya boleh 'bermain' dengan badan saya, saya mula untuk 'bermain' dengan lebih banyak dengan jentera saya.

"Masih ada beberapa kelemahan, sebagai contoh di selekoh 11, 12 (Misano) di mana Pecco amat laju, kami perlu memahaminya untuk minggu depan, saya tidak akan lebih pantas daripadanya.

"Ada beberapa perkara yang perlu dicari tetapi apabila kamu mempunyai keyakinan, kamu boleh 'bermain' dengan lebih banyak dengan badan kamu dan boleh menjadi lebih laju."

Ketika merangkul gelaran dunia MotoGP 2019, Marquez memenangi 12 daripada 19 perlumbaan yang ditawarkan pada musim itu selain kali 5 menamatkan perlumbaan sebagai naib juara.

Berakhir kempen musim itu, pelumba berusia 31 itu mengutip 420 mata dengan pelumba yang dinobatkan sebagai naib juara, Andrea Dovizioso dari Itali dan menunggang Ducati mengumpul 269 mata.