MARC Marquez Akui Tak Boleh 'Selesa'
Selepas 12 pusingan MotoGP berlangsung, Marc Marquez sudah mengumpul lapan kemenangan Perlumbaan Grand Prix (GP) dan 11 Perlumbaan Sprint serta meraih kelebihan besar 120 mata berbanding pencabar terdekatnya dalam carta kedudukan pelumba
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/22/20251 min read


MARC Marquez menegaskan dia perlu kekal fokus kerana apa saja boleh berlaku pada baki 10 pusingan MotoGP musim ini.
Selepas 12 pusingan berlangsung, pelumba pasukan 'kilang' Ducati Lenovo itu sudah memenangi lapan perlumbaan Grand Prix (GP), 11 Perlumbaan Sprint dan meraih kelebihan besar 120 mata berbanding pencabar terdekatnya dalam carta kedudukan pelumba.
Kali terakhir dominasi seperti itu berlaku di MotoGP adalah pada 2019 yang turut dilakukan oleh Marquez ketika bersama Honda yang menyaksikannya menjulang gelaran dunia keenam MotoGP dalam tempoh tujuh tahun.
Pada tempoh yang sama ketika itu, pelumba kelahiran Sepanyol itu memenangi tujuh perlumbaan daripada tujuh pusingan dan memiliki kelebihan 78 mata di depan pencabar terdekatnya Andrea Dovizioso dari Ducati.
"Betul pada separuh kedua musim ini, dengan 10 perlumbaan lagi, saya mempunyai kelebihan yang besar, dan sejujur-jujurnya, saya juga boleh terlepasnya. Saya perlu kekal dengan tahap fokus yang sama," kata Marquez memetik laporan Crash.net.
Sementara itu, Marquez mengakui dia sudah pun belajar daripada kesilapan yang berlaku terutama ketika di GP Amerika Syarikat yang menyaksikannya gagal menamatkan perlumbaan dan kekal menjadi satu-satunya 'DNF' yang diperolehnya musim ini.
"Sebab saya melakukan kesilapan di Austin adalah kerana hilang fokus. Jadi, masalah dan penyelesaian: kalau kamu membuat kesilapan, kamu perlu perbaikinya.
"Saya mula usahakan perkara itu, dan nampaknya kini saya mampu kekalkan tumpuan dengan lebih baik yang sebenarnya bukan isu dalam karier saya. Cuma kadang-kadang bila ada kelebihan besar, sukar nak kekalkan intensiti yang sama.
"Tetapi seperti hari ini, ada beberapa pusingan saya menekan dengan lebih, beberapa pusingan agak kurang, hanya bermain dengan sisi mental saya, bukan had kemampuan jentera," kata Marquez.
