MARC Marquez Akui Tak Yakin Dapat Menang Di Le Mans, Terlalu Penat!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/13/20242 min read

MARC Marquez, pelumba yang melepasi garisan penamat Grand Prix (GP) Perancis 2024 sebagai naib juara mengakui dia sudah kehabisan tenaga untuk bertarung merebut kemenangan di Le Mans.

Memulakan perlumbaan di petak ke-13, Marquez mengulangi pencapaiannya di Perlumbaan Sprint pada Sabtu pada perlumbaan utama namun dengan darjah kesukaran yang lebih tinggi.

Tidak seperti Perlumbaan Sprint yang menyaksikan juara dunia MotoGP enam kali itu 'melonjak' dari posisi ke-13 ke-4 seawal pusingan pertama, Marquez memerlukan 17 pusingan sebelum berada di posisi podium.

Dan kedudukan kedua yang diraih hanya diperoleh pada pusingan terakhir dengan memintas pelumba Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia dengan pemenang, Jorge Martin terlalu sukar untuk dipintas.

"Hari ini (semalam) saya tidak yakin, kerana apabila saya mendekati mereka, saya sudah benar-benar penat," kata Marquez memetik laporan Motosport.

"Saya sentiasa berusaha keras, tiada masa untuk bersenang-lenang dan apabila saya sampai kepada mereka (Pecco dan Martin) saya cuba menyerang.

"Tetapi kemudian saya berkata 'hmmm, saya tidak merasa begitu selesa dengan jentera ketika ini'. Dan saya juga dapat melihat Pecco memiliki pecutan yang baik.

"Jadi amat sukar untuk mendapatkan tempat untuk memintas kerana dia juga bertahan dengan baik di selekoh 3. Tetapi pada pusingan terakhir saya berkata 'Saya akan berada di sana untuk melihat sesuatu berlaku'.

"Saya melihat Pecco tidak menyerang Martin, jadi saya pergi ke luar daripada selekoh 8 dan pada selekoh 9 saya melakukan cubaan. Saya mampu untuk menghentikan jentera dengan baik."

Mengulas lanjut, pelumba kelahiran Sepanyol itu juga percaya peluangnya untuk menang akan meningkat juga tidak 'terperangkap' dalam pertarungan yang 'aneh' dengan pelumba VR46 Ducati, Fabio Di Giannantonio.

"Pertarungan pada pusingan itu aneh kerana kamu perlu faham kadang kala di mana kamu berada, dan jika ada pelumba datang daripada belakang kamu tidak boleh kehilangan dua saat kerana kami kehilangan 1.5 saat di 'Chicane' apabila bersentuhan, dan saya sudah mendapat posisi saya.

"Tetapi saya sudah melupakannya dan terus berlumba, dan kami memperoleh kelajuan yang menakjubkan.

"Benar jika tanpa pertarungan itu saya lebih berpeluang kerana saya akan mempunyai lebih banyak pusingan di belakang mereka. Tetapi tempat kedua, hari ini lebih daripada baik."

Kejayaan Marquez di Le Mans turut menyaksikan Gresini Racing meraikan perlumbaan GP ke-1000 pasukan itu dengan kedudukan podium.