JUARA dunia lapan kali, Marc Marquez menggambarkan perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Jepun 2024 di Motegi sebagai 'bosan' tetapi pada masa sama mengakui 'bimbang' dengan ancaman daripada Enea Bastianini.
Pelumba Gresini Ducati itu yang memulakan perlumbaan di petak ke-9 memperoleh permulaan baik untuk mengisi tempat ke-6 seawal pusingan pertama sebelum menduduki tempat ketiga yang sebelum itu diisi Pedro Acosta pada pusingan ke-2.
Tetapi pada masa sama, Bastianini yang meraih tempat kedua pada Perlumbaan Sprint, semalam berjaya meletakkan diri ke tempat keempat dengan jurang 2.5 saat.
Kesilapan daripada Marquez pada selekoh pertama pusingan ke-14 menyaksikan tekanan daripada pelumba pasukan 'kilang' Ducati itu meningkat dan pada satu ketika hanya dibezakan setengah saat.
Begitupun, bekas pelumba pasukan Repsol Honda itu berjaya menangani tekanan dan melepasi garisan penamat di atas podium dan mengulangi pencapaian ketika Perlumbaan Sprint.
"Perlumbaan yang bosan tetapi taktikal, terutama kerana apabila saya berada di tempat ketiga, (Jorge) Martin dan (Francesco) Bagnaia sudah pun mencipta jurang yang besar," kata Marquez.
"Saya cuba untuk mencari jalan untuk mengejar mereka, merapatkan jurang, tetapi apabila saya cuba menyerang lebih sedikit ketika melakukan brek, saya melakukan kesilapan pada selekoh pertama.
"Kemudian saya berputus asa dan ini adalah masa untuk mengawal Bastianini, kerana dia menunggang dengan cukup baik dan saya agak takut pada pusingan-pusingan terakhir daripada Bastianini.
"Kita sudah biasa melihat catatan masa sepusingan yang baik daripadanya tetapi kami mengawalnya dengan cara yang baik. Saya fikir kami adalah yang terpantas di ketika perlumbaan dari sudut catatan masa sepusingan."
Sebelum ke Jepun, Marquez mengakui apa yang perlu dipertingkatkan adalah sesi kelayakan dan sekalipun tanpa 'masalah' itu sudah diperbaiki di Motegi, catatan masa terpantasnya dibatalkan selepas didapati melanggar had litar.
"Ya sudah tentu, apabila kamu bermula di depan segala-galanya berbeza. Tetapi Ok, kami bermula di petak ke-9, pada pusingan pertama kami melakukannya dengan baik tetapi tidak sempurna kerana pada selekoh 10 Jorge memintas saya, saya terlepas sedikit pecutan kemudian (Jack) Miller memintas di selekoh 11 dan saya kehilangan sedikit masa di sana.
"Tetapi tidak mengapa, ia seperti ini, mata penting kami adalah memperbaiki sesi kelayakan seperti yang saya katakan sebelum ini. Nampaknya kami berjaya melakukannya tetapi pada pusingan ini kami tidak bertuah."