MARC Marquez Ambil Pendekatan Berhati-Hati Di Mugello

Penyandang juara dunia MotoGP, Marc Marquez dijadualkan kembali beraksi di Mugello selepas mengalami kecederaan di Le Mans yang menyaksikannya terlepas aksi hari Ahad di GP Perancis dan GP Catalunya

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/27/20261 min read

PELUMBA Ducati Lenovo, Marc Marquez dilaporkan sudah kembali menjalani 'latihan seperti biasa' bagi mempersiapkan diri untuk kemunculan semulanya di Grand Prix (GP) Itali hujung minggu ini, namun mengakui masih mengambil pendekatan berhati-hati.

Penyandang juara dunia MotoGP itu dijadualkan kembali beraksi di Mugello selepas mengalami kecederaan di Le Mans yang menyaksikannya terlepas aksi hari Ahad di GP Perancis dan GP Catalunya.

Dan selepas mengharungi proses pemulihan susulan pembedahan selama kira-kira dua minggu, pelumba kelahiran Sepanyol itu berjaya melepasi pemeriksaan perubatan bersama doktor peribadinya di Madrid pada Selasa.

Dia kini sudah berada di Itali bagi memenuhi komitmen bersama Ducati yang turut menyambut ulang tahun ke-100 syarikat itu minggu ini dan sempena sambutan bersejarah itu, jentera Ducati Lenovo dijangka tampil dengan corak liveri istimewa pada perlumbaan Ahad ini.

"Proses pemulihan berjalan seperti yang dijangkakan," kata Marquez. "Saya sudah kembali berlatih secara normal sejak beberapa hari lalu dan fokus utama saya di litar nanti adalah untuk menguji tahap keserasian serta keadaan fizikal saya di atas jentera Desmosedici GP."

Menerusi perkongsian di media sosial miliknya, pelumba bernombor 93 itu dilihat sedang melakukan latihan angkatan menggunakan lengan kanannya namun masih belum menunggang mana-mana motosikal, sama ada jentera lasak mahupun jentera sukan di litar.

Difahamkan, kesakitan pada saraf radial bahu kanannya sebelum ini hanya terasa pada waktu-waktu tertentu, dan ia sering berlaku ketika dia mengendalikan jentera MotoGP.

Untuk rekod, selepas kemalangan di Le Mans pada 10 Mei lalu yang mengakibatkan tulang metatarsal kelima kaki kanannya retak, Marquez menjalani dua pembedahan serentak pada jari kaki dan bahunya.

"Kedua-dua pembedahan berjalan lancar, tetapi kami tetap memantau keadaan dengan penuh berhati-hati berserta pemeriksaan perubatan terakhir di litar," kata Marquez yang perlu melepasi penilaian akhir oleh Pengarah Perubatan MotoGP, Dr Angel Charte pada Khamis.

Sedar dengan cabaran di Mugello yang menuntut ketahanan fizikal yang tinggi daripada pelumba, Marquez bagaimanapun enggan mengalah.

"Mugello adalah sebuah litar yang luar biasa, dan hakikatnya ia juga sangat menuntut kekuatan fizikal. Tetapi, sokongan daripada semua 'Ducatisti' akan menjadi motivasi tambahan buat saya untuk melakukan yang terbaik di sana," katanya.