MARC Marquez 'Amuk' Lebur Rekod Ricardo Tormo
Aksi memukau Marc Marquez itu hadir hanya beberapa jam selepas pelumba sensasi berusia 33 tahun berkenaan menggemparkan kancah MotoGP dengan mengumumkan persaraannya secara rasmi daripada sukan permotoran 2 roda elit itu pada sesi sebelah pagi
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/27/20261 min read


JUARA dunia MotoGP 8 kali, Marc Marquez membuktikan bisanya langsung tidak pudar apabila meleburkan rekod sepusingan terpantas Ricardo Tormo dengan mengungguli sesi Latihan pada aksi penutup tirai MotoGP 2026 Grand Prix (GP) Valencia, hari ini.
Aksi memukau itu hadir hanya beberapa jam selepas pelumba sensasi berusia 33 tahun berkenaan menggemparkan kancah MotoGP dengan mengumumkan persaraannya secara rasmi daripada sukan permotoran 2 roda elit itu pada sesi sebelah pagi.
Selepas sekadar ketinggalan 0.010 saat di belakang Marco Bezzecchi pada sesi Latihan Bebas 1 (FP1), Marquez tampil lebih garang pada sesi petang apabila mencatat masa terpantas 1 minit 28.483 saat pada pusingan terakhirnya.
Sesi itu turut menandakan latihan rasmi terakhir sebelum format perlumbaan hujung minggu MotoGP dirombak sepenuhnya menjelang musim 2027.
Pada awalnya, kem Aprilia dilihat bakal mendominasi sesi berkenaan apabila pelumba Trackhouse Aprilia, Raul Fernandez terlebih dahulu mencatatkan rekod sepusingan terpantas dengan catatan 1:28.791s ketika sesi berbaki 15 minit.
Percubaan awal Marquez untuk memintas masa itu terpaksa dibatalkan susulan insiden bendera kuning di Selekor 1 akibat masalah teknikal yang menimpa jentera VR46 Ducati milik Fabio Di Giannantonio.
Keadaan menjadi bertambah sengit apabila pelumba pasukan kilang Aprilia, Marco Bezzecchi melonjak ke kedudukan teratas menerusi catatan 1:28.730s, sebelum Marquez mempamerkan magisnya dengan catatan luar biasa untuk mendahului Bezzecchi dengan kelebihan 0.247s.
Pelumba Jepun, Ai Ogura turut mencuri tumpuan apabila memacu jentera Trackhouse Aprilia dengan melakukan catatan ke-3 terpantas.
Bintang KTM, Pedro Acosta bangkit daripada insiden kemalangan untuk mencatatkan masa ke-5 terpantas, diekori Alex Marquez (Gresini Ducati) dan pelumba gantian Tech3 KTM, Pol Espargaro (p7) menggantikan Maverick Vinales yang cedera.
Fermin Aldeguer, Di Giannantonio dan Jorge Martin masing-masing melengkapkan kedudukan 10 terbaik bagi mengesahkan tiket automatik ke pusingan Kelayakan 2 (Q2).

