MARC Marquez Belum 'Intai' Kemenangan, Podium 'OK'!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/11/20241 min read

PELUMBA yang dianggap 'pakar' di COTA (Circuit of the Americas), Marc Marquez menolak pendapat dia mampu menjulang kemenangan di gelanggang yang pernah dimenangi sebanyak tujuh perlumbaan itu musim ini.

Marquez kembali ke Austin, Amerika Syarikat dengan lencana berbeza - Gresini Ducati dan menunggang jentera yang disifatkan berpotensi merangkul kemenangan musim ini.

Bekas pelumba Repsol Honda itu terlepas aksi di COTA musim lalu susulan kecederaan namun rekod yang dimilikinya di litar berkenaan tidak boleh diambil mudah.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu menang perlumbaan di COTA secara berturut-turut pada musim 2013 hingga 2018 sebelum menambah kemenangan ke-7 pada 2021.

Namun sekalipun sudah memperoleh podium pertamanya pada Perlumbaan Sprint bersama jentera Desmosedici musim ini di Portimao, Portugal, juara dunia MotoGP enam kali itu terus menegaskan ada banyak lagi pelumba lebih laju berbandingnya ketika ini.

"Kami tiba di litar yang bagus untuk gaya tunggangan saya. Jelas, pada perlumbaan sebelum ini, kami mencapai banyak keputusan yang baik, tetapi ketika ini, seperti yang kita lihat di Portimao, ada tiga atau empat pelumba lebih laju berbanding saya," kata Marquez.

"Jadi, ayuh kita lihat sama ada saya boleh menjadi lebih dekat. Jika hari ini kamu berkata 'Kamu akan mencapai podium pertama (Ducati), saya akan menerimanya. Apa yang saya katakan, sebelum kemenangan, kami perlu meraih podium. Jadi langkah demi langkah."

Berdasarkan rekod, satu-satunya kemenangan yang diraih oleh Ducati di COTA adalah menerusi Enea Bastianini pada 2022 semasa pelumba Itali itu masih menyarung sut lumba Gresini.

"Sudah tentu, mereka (Ducati dan Honda) adalah jentera dengan konsep yang amat berbeza," kata Marquez. "Honda cukup kuat ketika berhenti dan ketika selekoh. Sebagai contoh, Alex Rins menunjukkannya di sini tahun lalu dan seperti saya dan Joan Mir tunjukkan di India.

"Jadi, kita akan lihat bagaimana Ducati lakukannya di sini. Saya tahu ia akan berbeza, tetapi sasaran saya adalah mengikut saja rentak di litar ini. Ia adalah perlumbaan di litar yang saya gemari. Jadi kami akan cuba menikmatinya dan kemudian kita akan tengok dan lihat."