MARC Marquez Belum Terfikir Nak Jadi Pemilik Pasukan MotoGP
Dalam grid MotoGP ketika ini, pasukan VR46 Ducati adalah milik legenda Itali, Valentino Rossi dan LCR Honda dimiliki bekas pelumba Lucio Cecchinello dan ia menjadi contoh terbaik pasukan yang diuruskan oleh bekas pelumb
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/9/20261 min read


PELUMBA bintang Sepanyol, Marc Marquez mengakui dunia MotoGP akan terus menjadi sebagai sebahagian daripada hidupnya selepas menggantung sut lumbanya kelak, namun buat masa ini dia belum terfikir untuk bergelar pemilik pasukan.
Seperti diketahui, bekas pelumba menjadi pemilik pasukan bukan sesuatu yang asing dalam perlumbaan elit dua roda dunia itu.
Dalam grid MotoGP ketika ini, pasukan VR46 Ducati adalah milik legenda Itali, Valentino Rossi dan LCR Honda dimiliki bekas pelumba Lucio Cecchinello dan ia menjadi contoh terbaik pasukan yang diuruskan oleh bekas pelumba.
Malah, pasukan Gresini Racing, di mana Marquez pernah bergandingan bersama adiknya, Alex pada musim 2024 juga pada asalnya diasaskan oleh mendiang Fausto Gresini sebelum kini diuruskan oleh isterinya, Nadia Padovani.
Ketika ditanya mengenai perkara itu, Marquez memetik laporan Crash berkata ketika ini dia masih belum memikirkan mengenai perkara berkenaan.
"Buat masa ini, jawapannya tidak, kerana saya memberikan sepenuh tumpuan kepada tunggangan," tegas Marquez.
"Sebagai seorang pelumba, seluruh kehidupan anda hanya difokuskan sepenuhnya terhadap tunggangan jentera. Namun untuk masa depan, anda tidak akan pernah tahu apa yang bakal berlaku.
"Cepat atau lambat, saya pasti akan menamatkan karier saya, dan selepas itu barulah saya akan membuat keputusan. Tetapi satu perkara yang saya tahu, MotoGP dan motosikal adalah sebahagian daripada hidup saya dan akan terus kekal menjadi sebahagian daripada hidup saya."
Sejak berada di bawah pemilikan Liberty Media, ada pelumba bintang Formula Satu (F1) seperti Lewis Hamilton dan Max Verstappen dikatakan berminat untuk menjadi pemilik pasukan MotoGP.
Setakat ini, satu-satunya pasukan yang sudah sah bertukar tangan adalah Tech3 KTM, yang dijual kepada sebuah konsortium yang diketuai oleh bekas bos pasukan F1, Guenther Steiner.

