MARC Marquez Beri Bayangan Kembali Ke Honda

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/7/20231 min read

SELEPAS 11 tahun bersama Honda, Marc Marquez meninggalkan pasukan itu untuk memburu gelaran ke-7 MotoGP dengan menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini MotoGP musim depan.

Begitupun, pelumba kelahiran Sepanyol itu hanya menandatangani kontrak jangka pendek selama setahun bersama Gresini yang sekaligus mencetus persoalan ke mana destinasinya selepas itu.

Sekalipun sudah mula menguji jentera Ducati, Marquez baru-baru ini dijemput oleh pihak Honda bersama-sama dalam sambutan 'Honda Thanks Day' di Jepun.

Dan ada sesuatu yang menarik dan mungkin menggembirakan buat peminat Honda MotoGP terkeluar daripada mulut pelumba itu.

"Honda akan sentiasa kekal dalam hati saya," kata Marquez memetik laporan Marca ketika di Jepun.

"Saya berharap untuk kembali ke sini satu hari nanti sebagai pelumba Honda. Saya gembira untuk berada di sini sekali lagi di 'Honda Thanks Day'.

"Seperti kamu tahu, tahun ini amat istimewa bagi saya, kerana saya dan Honda akan berpisah. Begitupun, kita akan melihat sama ada bersama lagi pada masa depan.

"Tiada sebarang keraguan yang sepanjang 11 tahun ini, dengan 6 gelaran dunia bersama, kami mencapai sesuatu yang menakjubkan. Bagi saya, sentiasa menggembirakan untuk menjadi sebahagian daripada keluarga yang hebat ini.

"Repsol Honda adalah pasukan yang membina karier saya, pasukan yang terdiri daripada insan yang saya tidak akan pernah lupakan. Seperti kamu tahu, sasaaran saya adalah untuk meraih semula kemenangan dan kerana itu saya perlu mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mendapatkannya, seperti yang saya selalu lakukan dalam karier saya.

"Jadi, siapa tahu apa yang akan berlaku di masa depan, mungkin kita akan berjumpa lagi.

"Saya tidak tahu jika ini adalah 'Honda Thanks Day' terakhir saya... Saya harap tidak, saya berharap pada masa depan untuk kembali sebagai pelumba Honda."

Tampak ketinggalan jauh daripada pengeluar Eropah, Honda dijangka akan mendapat manfaat daripada Peraturan Konsesi baharu yang dikeluarkan MotoGP bagi mempercepatkan proses 'pemulihannya'.

Ketika ini, Repsol Honda dipacu dua pelumba, Joan Mir dan Luca Marini yang menggantikan Marquez dan antara perubahan besar dibuat termasuk melepaskan jawatan Ketua Teknikal, Shinichi Kokubu.