MARC Marquez Bikin 'Grand Slam' Di Aragon
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/8/20252 min read


MARC Marquez kembali bergelar juara Perlumbaan Grand Prix (GP) apabila mendominasi GP Aragon 2025 dengan bergaya, hari ini.
Kemenangan pelumba Ducati Lenovo itu mengikuti kemenangan pada Perlumbaan Sprint, semalam selain turut menguasai sesi kelayakan dan hari pertama di Motorland Aragon yang dianggap GP laman sendiri itu.
Kali terakhir pelumba kelahiran Sepanyol itu menguasai setiap sesi di minggu perlumbaan MotoGP adalah di GP Jerman 2015 ketika masih bersama Repsol Honda dan kali terakhir dia menjuarai Perlumbaan GP adalah di Qatar pada April lalu.
Memulakan perlumbaan di petak utama, juara dunia lapan kali itu seperti tidak mampu dicabar apabila memimpin perlumbaan sejak awal hingga akhir.
Tempat kedua menjadi milik adiknya, Alex Marquez yang juga pelumba Gresini Ducati manakala rakan sepasukan Marc, Francesco Bagnaia melengkapkan kedudukan podium.
Dengan ketiga-tiga kedudukan podium menjadi milik Ducati, pelumba KTM, Pedro Acosta muncul pelumba bukan Ducati terbaik apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-4.
Ia diikuti dua lagi pelumba Ducati, Franco Morbidelli (VR46 Ducati) ke-5 dan Fermin Aldeguer (Gresini Ducati) yang bersaing sengit bagi kedudukan lima terbaik itu.
Pelumba Honda terbaik dilakukan oleh Joan Mir (Honda HRC Castrol) di tempat ke-7 dengan juara di GP British, Marco Bezzecchi (Aprilia Racing) melepasi garisan penamat di tempat ke-8 diikuti pelumba terakhir Ducati di grid, Fabio Di Giannantonio (VR46 Ducati).
Minggu mengecewakan pelumba bintang Monster Yamaha, Fabio Quartararo berterusan apabila dia terjatuh, situasi yang turut menimpa Brad Binder (Red Bull KTM) dan Johann Zarco (Castrol Honda LCR).
Ketiadaan Quartararo menyaksikan Alex Rins muncul pelumba terbaik Yamaha di kedudukan ke-11.
Perlumbaan di Aragon tidak disertai Luca Marini (Honda HRC Castrol) dan Ai Ogura (Trackhouse Aprilia) yang sedang menjalani proses pemulihan dengan kedua-duanya tidak mempunyai pengganti.
Pelumba Thailand, Somkiat Chantra kekal menjadi satu-satunya pelumba yang belum mengutip sebarang mata musim ini dan hampir melakukannya di Aragon selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-16.
Keputusan Perlumbaan GP MotoGP Aragon 2025
Marc Marquez (SPA) Ducati Lenovo (GP25), 41m 11.195s
Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP24), +1.107s
Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP25), +2.029s
Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM (RC16), +7.657s
Franco Morbidelli (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP24), +10.363s
Fermin Aldeguer (SPA) Gresini Ducati (GP24)*, +11.889s
Joan Mir (SPA) Honda HRC Castrol (RC213V), +14.938s
Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Racing (RS-GP25), +16.022s
Fabio Di Giannantonio (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP25), +18.321s
Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP25), +19.190s
Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +19.646s
Enea Bastianini (ITA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +24.624s
Augusto Fernandez (SPA) Pramac Yamaha (YZR-M1), +25.986s
Jack Miller (AUS) Pramac Yamaha (YZR-M1), +26.761s
Miguel Oliveira (POR) Pramac Yamaha (YZR-M1), +27.122s
Somkiat Chantra (THA) Idemitsu Honda LCR (RC213V)*, +37.117s
Lorenzo Savadori (ITA) Aprilia Factory (RS-GP25), +43.588s
Maverick Viñales (SPA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +86.319s
Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), DNF
Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), DNF
Johann Zarco (FRA) Castrol Honda LCR (RC213V), DNF
* Rookie
